|
Perkuburan Baqi' di Madinah al-Munawarah |
Beberapa hari lalu, penulis telah terlibat dalam sebuah perbahasan kecil dengan seorang saudara berkenaan hukum wanita mengunjungi kubur. Dengan jahilnya penulis mengatakan ianya haram, sedang saudara tadi mengharuskannya. Perbahasan tidak berjalan lancar, disebabkan ketiadaan dalil unuk mengukuhkan pendapat masing-masing.
Rasa bersalah dan tidak puas hati bergenang, menjentik keinginan penulis untuk melihat semula situasi ini dengan dalil. Berikut merupakan bentangan dalil yang penulis kira, agak komprehensif dan jamil.
Hukum wanita berziarah ke kubur
Menurut Syeikh Atiyyah Saqr dalam buku beliau, 'Soal Jawab: Wanita Islam' muka surat 195, terdapat lima pendapat yang dipegang oleh `ulama. Meskipun beliau sendiri menyimpulkan pada akhir topik bahawa ianya tidak haram, selagi adab yang diaturkan dalam Islam tidak dilanggar. Keempat-empat pendapat itu, adalah:
1. Haraam
Haram secara mutlak atas dalil dari hadith Rasulullah SAWS yang mafhumnya,
"Allah melaknat para wanita yang suka menziarahi kubur" (HR. Tirmizi, dengan darjat hadith yang hasan; sahih. Turut diriwayatkan Ibnu Majah dan Ahmad r.a)
Begitupun, sebahagian `ulama melihat keharamannya pada kekerapan seseorang wanita itu menziarahi sesebuah kubur. Hal ini kerana lafaz zaurah dalam bahasa `Arab yang menunjukkan man sighal mubalaghah yang ertinya melampaui batas atau kerap atau sering.
Ada juga golongan `ulama yang mengharamkan perbuatan menziarahi kuburan oleh wanita kerana ada kekhuatiran timbulnya mafsadah dan keburukan; atas kefahaman bahawa kemungkinan akan terjadi fitnah. Menurut penulis, tidak mustahil golongan `ulama yang berpendirian sebegini menggunakan teknik saddu zara`ie. Selain itu, menurut wanita mudah meraung dan meronta dengan pemergian sesuatu ataupun mengingati mereka yang sudah meninggal dunia. Sedang terdapat hadith yang mencela wanita meronta-ronta:
"Bukanlah termasuk golongan kami orang-orang yang menampar pipi mereka dan mengoyak-ngoyakkan baju mereka dan menyeru-nyeru (mayat) sebagaimana seruan kaum Jahiliyah." (Mutafaqun Alaih)
Pada umumnya, wanita sukar untuk menolak kebiasaan seumpama yang disebutkan dalam hadith di atas. Hadith yang diriwayatkan oleh Ummu Athiah menguatkan pernyataan tersebut, dia berkata,
"Rasulullah SAWS telah mengingatkan kami supaya kami tidak meronta-ronta pada saat kematian seseorang, tidak ada yang dapat melaksanakannya selain lima orang sahaja; Ummu Salim, Ummu `Ala, Ibn Abi Sibrah dan isteri Mu`adz dan seorang perempuan lagi. Dan tatkala isteri Ja`far bin Abi Thalib meronta-ronta atas syahidnya Ja`far , Rasulullah SAWS memerintahkan seorang lelaki untuk melarang mereka dari berbuat demikian namun tidak seorangpun dari mereka mendengarkan amaran lelaki tersebut, lalu baginda Rasulullah SAWS memerintahkan lelaki tersebut agar menyumbat mulut mereka dengan tanah." (Ummu Atiyyah dalam buku Syeikh Atiyyah Saqr)
3. Makruh
Dalilnya disandarkan pada hadith bertaraf mutafaqun alaihi daripada Ummu Athiah tentang larangan menghantar jenazah-jenazah, dia berkata,
"Kami dilarang untuk menghantar jenazah tetapi tidak ditegaskan kepada kami."
Al-Hafiz Ibn Hajjar di dalam kitabnya 'Fathul Bari' telah berkata bahawa,
" '...tidak ditegaskan' di sini bermaksud bermaksud adalah tidak ditegaskan larangan menziarahi kubur kepada kami sebagaimana penegasan terhadap perbuatan terlarang lain, di sini seakan-akan Ummu Athiah berkata bahawa 'kami dilarang tetapi tidak diharamkan'."
Al-Qurtubi menyatakan bahawa zahir susunan ayat kata-kata Ummu Athiah di sini bermaksud larangan yang mendekati haram atau karahan tanzih, kerana ziarah kubur diqiyaskan dengan menghantar jenazah. Hukumnya makruh bagi mereka.
Berkenaan kutukan terhadap wanita yang menziarahi kubur itu, Imam Qurtubi meng`usulkan suatu resolusi, di mana beliau pernah berkata,
"Kutukan yang tersebut dalam hadith itu hanyalah bagi wanita-wanita yang terlalu sering berziarah, sebagai dimaksudkan dengan sighat mubalaghah. Dan mungkin sebabnya kerana tersianya hak suami, memeperagakan diri dan kemungkinan menangis, meratap dan sebagainya. Dan bisa dikatakan jika semuanya boleh diatasi, maka tidak ada alasan buat untuk tidak mengizinkan mereka. Kerana mengingati maut itu sama diperlukan baik untuk lelaki mahupun perempuan."
Asy-Syaukani, ketika mensyarahkan pendapat Imam Qurtubi ini, berkata,
"Pendapat inilah yang seharusnya dipegang, dalam menghimpun hadith-hadith tentang masalah ini, yang pada zahirnya bertentangan."
4. Boleh
Berdasarkan hadith dari Saidatina `Aisyah r.a ketika beliau menziarahi perkuburan Baqi' dan setibanya di sana ia bertemu dengan Rasulullah SAWS tetapi baginda tidak melarangnya bahkan mengajarkannya bacaan ketika memasuki perkuburan, yang bermaksud,
"Semoga kesejahteraan ke atas kamu wahai penghuni kubur yang mukmin dan Muslim, dan Allah mengasihi orang yang meninggal terlebih dahulu yang meninggal kemudiannya" (HR. Imam Muslim)
Abi Malikah pernah juga mencatatkan peristiwa yang menyokong pendapat ini:
Saya bertemu Saidatina `Aisyah r.a yang baru pulang dari kubur, dia bertanya kepada beliau,
"Dari manakah kamu, wahai Ummul Mukminin?". Lalu beliau menjawab, "Dari kubur saudaraku Abdul Rahman". Lalu aku bertanya, "Bukankah Rasulullah SAWS melarang kita daripada menziarahi kubur?". Beliau menjawab, "Benar, baginda pernah melarang kita daripada menziarahi kubur, kemudian baginda memerintahkan untuk menziarahinya." (HR. Al-Hakim dan Baihaqi, sahih menurut Az-Zahabi. Menurut Baihaqi, pada sanadnya terdapat Bushtam bin Muslim al-Basri, yang meriwayatkannya seorang diri.)
Terdapat juga hadith yang disepakati Imam Muslim dan Imam Bukhari yang diriwayatkan oleh `Anas bin Malik ra. Ia menyebutkan suatu peristiwa di mana Rasulullah SAWS melarang seorang wanita yang menangis di perkuburan untuk menghentikan tangisannya dan menyuruhnya bersabar serta bertakwa kepada Allah SWT. Tangisan dan rontaannya itulah yang Rasulullah SAWS benci, sedangkan Baginda tidak melarangnya daripada menziarahi kubur tersebut.
5. Sunat
Pendapat hukum menziarahi kubur oleh golongan wanita sebagai sunat disandarkan pada taraf perintah Baginda SAWS yang bersifat umum (melibatkan semua manusia) ketika baginda SAWS menyebutkan "fazuuruuha" yang maksudnya, "maka ziarahilah kubur" Ada juga yang berpendapat bahawa perintah ini hanya untuk lelaki kerana damir (kata ganti) yang digunakan adalah untuk lelaki bukan perempuan, demikianlah menurut mazhab yang terpilih pada `Usul Fiqh, tetapi pendapat ini tidak kuat kerana terdapat banyak perintah-perintah bagi setiap Muslim dan Muslimah menggunakan kata ganti seperti ini sedang sekiranya pengkhususan memerlukan lafaz yang lebih menegaskan dan menunjukkan kekhususan.
Wallahu`alam.