Showing posts with label Hukum. Show all posts
Showing posts with label Hukum. Show all posts

Thursday, October 20, 2011

Berkenaan Keharaman Wanita Menziarahi Kubur


Perkuburan Baqi' di Madinah al-Munawarah
Beberapa hari lalu, penulis telah terlibat dalam sebuah perbahasan kecil dengan seorang saudara berkenaan hukum wanita mengunjungi kubur. Dengan jahilnya penulis mengatakan ianya haram, sedang saudara tadi mengharuskannya. Perbahasan tidak berjalan lancar, disebabkan ketiadaan dalil unuk mengukuhkan pendapat masing-masing.

Rasa bersalah dan tidak puas hati bergenang, menjentik keinginan penulis untuk melihat semula situasi ini dengan dalil. Berikut merupakan bentangan dalil yang penulis kira, agak komprehensif dan jamil. 

Hukum wanita berziarah ke kubur

Menurut Syeikh Atiyyah Saqr dalam buku beliau, 'Soal Jawab: Wanita Islam' muka surat 195, terdapat lima pendapat yang dipegang oleh `ulama. Meskipun beliau sendiri menyimpulkan pada akhir topik bahawa ianya tidak haram, selagi adab yang diaturkan dalam Islam tidak dilanggar. Keempat-empat pendapat itu, adalah:

1. Haraam

Haram secara mutlak atas dalil dari hadith Rasulullah SAWS yang mafhumnya,
"Allah melaknat para wanita yang suka menziarahi kubur"  (HR. Tirmizi, dengan darjat hadith yang hasan; sahih. Turut diriwayatkan Ibnu Majah dan Ahmad r.a)
Begitupun, sebahagian `ulama melihat keharamannya pada kekerapan seseorang wanita itu menziarahi sesebuah kubur. Hal ini kerana lafaz zaurah dalam bahasa `Arab yang menunjukkan man sighal mubalaghah yang ertinya melampaui batas atau kerap atau sering. 

Ada juga golongan `ulama yang mengharamkan perbuatan menziarahi kuburan oleh wanita kerana ada kekhuatiran timbulnya mafsadah dan keburukan; atas kefahaman bahawa kemungkinan akan terjadi fitnah. Menurut penulis, tidak mustahil golongan `ulama yang berpendirian sebegini menggunakan teknik saddu zara`ie. Selain itu, menurut wanita mudah meraung dan meronta dengan pemergian sesuatu ataupun mengingati mereka yang sudah meninggal dunia. Sedang terdapat hadith yang mencela wanita meronta-ronta:
"Bukanlah termasuk golongan kami orang-orang yang menampar pipi mereka dan mengoyak-ngoyakkan baju mereka dan menyeru-nyeru (mayat) sebagaimana seruan kaum Jahiliyah." (Mutafaqun Alaih)
Pada umumnya, wanita sukar untuk menolak kebiasaan seumpama yang disebutkan dalam hadith di atas. Hadith yang diriwayatkan oleh Ummu Athiah menguatkan pernyataan tersebut, dia berkata, 
"Rasulullah SAWS telah mengingatkan kami supaya kami tidak meronta-ronta pada saat kematian seseorang, tidak ada yang dapat melaksanakannya selain lima orang sahaja; Ummu Salim, Ummu `Ala, Ibn Abi Sibrah dan isteri Mu`adz dan seorang perempuan lagi. Dan tatkala  isteri Ja`far bin Abi Thalib meronta-ronta  atas syahidnya Ja`far , Rasulullah SAWS memerintahkan seorang lelaki untuk melarang mereka dari berbuat demikian namun tidak seorangpun dari mereka mendengarkan amaran lelaki tersebut, lalu baginda Rasulullah SAWS memerintahkan lelaki tersebut agar menyumbat mulut mereka dengan tanah." (Ummu Atiyyah dalam buku Syeikh Atiyyah Saqr)
3. Makruh

Dalilnya disandarkan pada hadith bertaraf mutafaqun alaihi daripada Ummu Athiah tentang larangan menghantar jenazah-jenazah, dia berkata, 
"Kami dilarang untuk menghantar jenazah tetapi tidak ditegaskan kepada kami."
Al-Hafiz Ibn Hajjar di dalam kitabnya 'Fathul Bari' telah berkata bahawa,
" '...tidak ditegaskan' di sini bermaksud bermaksud adalah tidak ditegaskan larangan menziarahi kubur kepada kami sebagaimana penegasan terhadap perbuatan terlarang lain, di sini seakan-akan Ummu Athiah berkata bahawa 'kami dilarang tetapi tidak diharamkan'."
Al-Qurtubi menyatakan bahawa zahir susunan ayat kata-kata Ummu Athiah di sini bermaksud larangan yang mendekati haram atau karahan tanzih, kerana ziarah kubur diqiyaskan dengan menghantar jenazah. Hukumnya makruh bagi mereka.

Berkenaan kutukan terhadap wanita yang menziarahi kubur itu, Imam Qurtubi meng`usulkan suatu resolusi, di mana beliau pernah berkata,
"Kutukan yang tersebut dalam hadith itu hanyalah bagi wanita-wanita yang terlalu sering berziarah, sebagai dimaksudkan dengan sighat mubalaghah. Dan mungkin sebabnya kerana tersianya hak suami, memeperagakan diri dan kemungkinan menangis, meratap dan sebagainya. Dan bisa dikatakan jika semuanya boleh diatasi, maka tidak ada alasan buat untuk tidak mengizinkan mereka. Kerana mengingati maut itu sama diperlukan baik untuk lelaki mahupun perempuan."
Asy-Syaukani, ketika mensyarahkan pendapat Imam Qurtubi ini, berkata,
"Pendapat inilah yang seharusnya dipegang, dalam menghimpun hadith-hadith tentang masalah ini, yang pada zahirnya bertentangan."
4. Boleh

Berdasarkan hadith dari Saidatina `Aisyah r.a ketika beliau menziarahi perkuburan Baqi' dan setibanya di sana ia bertemu dengan Rasulullah SAWS tetapi baginda tidak melarangnya bahkan mengajarkannya bacaan ketika memasuki perkuburan, yang bermaksud,
"Semoga kesejahteraan ke atas kamu wahai penghuni kubur yang mukmin dan Muslim, dan Allah mengasihi orang yang meninggal terlebih dahulu yang meninggal kemudiannya" (HR. Imam Muslim)
Abi Malikah pernah juga mencatatkan peristiwa yang menyokong pendapat ini:
Saya bertemu Saidatina `Aisyah r.a yang baru pulang dari kubur, dia bertanya kepada beliau,
"Dari manakah kamu, wahai Ummul Mukminin?". Lalu beliau menjawab, "Dari kubur saudaraku Abdul Rahman". Lalu aku bertanya, "Bukankah Rasulullah SAWS melarang kita daripada menziarahi kubur?". Beliau menjawab, "Benar, baginda pernah melarang kita daripada menziarahi kubur, kemudian baginda memerintahkan untuk menziarahinya." (HR. Al-Hakim dan Baihaqi, sahih menurut Az-Zahabi. Menurut Baihaqi, pada sanadnya terdapat Bushtam bin Muslim al-Basri, yang meriwayatkannya seorang diri.)
Terdapat juga hadith yang disepakati Imam Muslim dan Imam Bukhari yang diriwayatkan oleh `Anas bin Malik ra. Ia menyebutkan suatu peristiwa di mana Rasulullah SAWS melarang seorang wanita yang menangis di perkuburan untuk menghentikan tangisannya dan menyuruhnya bersabar serta bertakwa kepada Allah SWT. Tangisan dan rontaannya itulah yang Rasulullah SAWS benci, sedangkan Baginda tidak melarangnya daripada menziarahi kubur tersebut.

5. Sunat

Pendapat hukum menziarahi kubur oleh golongan wanita sebagai sunat disandarkan pada taraf perintah Baginda SAWS yang bersifat umum (melibatkan semua manusia) ketika baginda SAWS menyebutkan "fazuuruuha" yang maksudnya, "maka ziarahilah kubur" Ada juga yang berpendapat bahawa perintah ini hanya untuk lelaki kerana damir (kata ganti) yang digunakan adalah untuk lelaki bukan perempuan, demikianlah menurut mazhab yang terpilih pada `Usul Fiqh, tetapi pendapat ini tidak kuat kerana terdapat banyak perintah-perintah bagi setiap Muslim dan Muslimah menggunakan kata ganti seperti ini sedang sekiranya pengkhususan memerlukan lafaz yang lebih menegaskan dan menunjukkan kekhususan.

Wallahu`alam.

Saturday, October 15, 2011

Berkenaan Mengharamkan Tadarus, Tazkirah & Seumpamanya Sebelum Adzan Subuh

Bismillahir Rahmanir Rahiim.

Baru-baru ini, negara kita digoncangkan oleh satu lagi polemik yang berupa gimik politik. Polemik ini tersebar ke seluruh ceruk bumi di negeri-negeri Pembangkang, dan menjadi modal bagi sesetengah pihak dalam mempopularkan tradisi perjuangan mereka. Isu yang dimaksudkan adalah perihal memperdengarkan tadarus Al-Qur'an dan tazkirah sebelum azan dikumandangkan (khusus: fardhu Subuh).

Atas rasa ingin tahu, saya meminjam buku seorang saudara yang memuatkan ratusan hadith berkenaan pelbagai masa`il dalam Islam, yakni buku 'Fikih Sunnah', hasil usaha `ulama tersohor, Syeikh Sabiq. Kitab ini dilembarkan dalam dua buku; pada buku pertama ada kompilasi empat jilid dan dalam buku kedua, ada empat jilid lagi. 

Persoalan berkenaan hukum bertadarus dan bertazkirah dengan lantang sebelum masuk waktu termuat dalam jilid pertama, perkara kesepuluh, muka surat 217 sehingga 216. Bagi memendekkan perbincangan sekali gus mengurangkan pentafsiran yang bukan-bukan, saya hanya akan menuliskan di bawah ini pendapat beberapa `ulama Islam terdahulu.

Fikih Sunnah, Jilid I, di bawah Perkara ke-10: AZANl; (21) 'HAL2 YANG DITAMBAHKAN KE DALAM AdZAN DAN TIDAK TERMASUK DI DALAMNYA; 4. Adzan Tasbih Sebelum Fajar', ms/ 217. Alih bahasa: Mahyudin Syaf.

Berkata pengarang buku, Al-`Iqna' dalam syarahnya, yakni sebuah buku golongan Hanbali: 
"Dan selain adzan sebelum fajar, berupa tasbih, melagukan dan mengeraskan suara dengan do`a dan lain-lain yang semacam itu di tempat-tempat adzan, tidaklah termasuk sunnah."
Dan tidak seorangpun di antara `ulama yang mengatakannya sunat, sebaliknya itu termasuk perkara bid`ah yang dibenci, kerana tiada dijumpai pada masa Nabi Muhammad SAWS dan tidak pula pada masa para Sahabatnya r.a, di samping tidak mempunyai dasar pada zaman mereka itu yang dapat dipertanggungjawabkan. Dari itu, janganlah seseorang memerintahkan hal demikian, dan tidaklah boleh ia menyangkal orang yang meninggalkannya, serta janganlah ia menggantungkan penerimaan rezeki dengan itu, kerana itu bererti menggalakkan perkara bid`ah yang tidak boleh dilakukan, walaupun umpamanya disyaratkan oleh yang memberikan wakaf, kerana itu menyalahi Sunnah.

Dan dalam buku 'Talbisu Iblis' karangan `Abdurrahman Al-Jauzi tersebut: 
"Dan saya melihat sendiri banyak orang yang berjaga di atas menara pada waktu malam buat memberi nasehat dan pengajaran, berdzikir dan membaca salah-satu surah Al-Qur`an dengan suara keras, hingga mengganggu orang tidur dan mengacau bacaan orang yang sedang solat tahajjud, dan ini adalah perkara mungkar!"
Berkata Al-Hafiz dalam 'Al-Fath', 
"Dan apa yang dibuat-buat oleh orang berupa tasbih sebelum Subuh dan salawat Nabi sebelum Juma`at, tidaklah termasuk adzan, baik menurut loghat, mahupun dalam syarak."
Kesukaran Yang Perlu Diperjelas

Walau bagaimanapun, terdapat beberapa kemusykilan yang perlu dijelaskan oleh pihak yang baharu saja memfatwakan hukuman ini, iaitu kenapa baru kini perkara ini dijelaskan/difatwakan? Hanya setelah pihak syarikah menginginkan, baharulah perkara ini diselidiki oleh para `ulama Pembangkang. Ini melahirkan sentimen kurang enak berkenaan daulah sebenar umat Islam.

Selain itu, saya secara peribadinya belum menemukan mana-mana hadith yang boleh memusnahkan tentangan yang dibuat oleh pihak yang membela kehalalan melaksanakan tazkirah/tadarus. Semuanya digantungkan pada pendapat `ulama, dan untuk itu, khilaf bisa membuka jalan kepelbagaian. InshaAllah, saya akan cuba mencarinya juga.

Wallahu`alam bitsawwab.

Sunday, August 14, 2011

Apakah maksud Waktu Imsak?

Sebagaimana yang dimaklumi, puasa bermaksud menahan diri daripada makan dan minum serta perkara-perkara yang membatalkannya bermula daripada terbit fajar sadiq (masuk waktu subuh) hingga terbenam matahari (masuk waktu maghrib) disertai dengan niat dan syarat-syarat yang tertentu.

Dalil waktu bermulanya puasa adalah sebagaimana firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 187 yang bermaksud:

“dan makanlah serta minumlah sehingga nyata kepada kamu benang putih (cahaya siang) dari benang hitam (kegelapan malam) iaitu (waktu) fajar, kemudian sempurnakanlah puasa itu hingga waktu malam (maghrib)”.

Berdasarkan kepada dalil tersebut maka jelaslah bahawa waktu puasa itu bermula apabila masuknya waktu Subuh. Hal ini telah pun disepakati oleh Ijma’ Ulama’. Adapun waktu imsak yang diamalkan bermula kira-kira 10 minit sebelum masuknya waktu subuh atau kira-kira tempoh membaca 50 ayat al-Qur’an yang sederhana panjang. Imsak adalah perkataan bahasa Arab yang bermaksud menahan daripada sesuatu.

Waktu imsak ini adalah sebaik-baik waktu bagi seseorang itu berhenti makan/minum ketika bersahur bagi membolehkannya bersiap-siap untuk menantikan masuknya waktu subuh dan juga sebagai waktu ihtiati (berjaga-jaga/berwaspada) agar tidak tergopoh-gapah bersahur hingga masuknya waktu subuh. Bersahur ketika hampir waktu imsak ini juga adalah lebih afdhal kerana ia amalan Rasulullah SAW sebagaimana maksud hadis daripada Zaid bin Thabit iaitu:

Kami sahur bersama Rasulullah SAW kemudian kami berdiri solat. Saya bertanya “berapa lama jarak antara kedua-duanya itu?”, baginda bersabda “50 ayat al-Qur’an” (HR Bukhari).

Jadi jelaslah apa itu waktu imsak dan waktu bermulanya puasa (subuh). Kesimpulannya, mereka yang makan/minum selepas waktu imsak tidaklah membatalkan puasanya selagi mana tidak sampai masuknya waktu subuh tetapi bersahur ketika hampir waktu imsak (tidak terlalu cepat atau lambat) adalah yang digalakkan kerana ia sunnah Rasulullah SAW dan merupakan adab bersahur yang sangat baik. Meninggalkan sunnah Rasulullah SAW dengan sengaja tanpa alasan munasabah adalah makruh dan tidak terpuji. Demi menjaga kesempurnaan ibadah puasa kita dan lebih beradab dalam melaksanakan perintah Allah maka adalah baik jika kita mengikut panduan yang diberi. 
Sesungguhnya Allah Ta’ala lebih mengetahui.

P/S: 



1. Waktu Imsak adalah sebaik-baik waktu untuk berhenti makan dan minum kerana ia merupakan Sunnah Rasulullah SAW.

2. Makan dan minum selepas waktu Imsak tidak membatalkan puasa selagi belum masuk waktu subuh dan menurut pendapat Ulama’ hukumnya adalah Makruh...

[Sumber: Jabatan Mufti Negeri Melaka, Malaysia]


Saturday, August 13, 2011

Menjatuhkan Pemimpin?


[...] tanpa melengahkan masa, marilah kita perhatikan beberapa hadith dan pendapat sesetengah ulama agung bagi menunjukkan betapa perbuatan menderhakai pemimpin itu adalah suatu kesilapan yang sangat besar; satu dosa. Sehinggakan dalam beberapa hadith, mendapat ancaman neraka.

1. Diriwayatkan oleh Ibn 'Abbas, Nabi Muhammad (SAW) bersabda, "Jika seseorang melihat pemimpin Muslimnya sedang melakukan sesuatu yang dia tidak setujui, dia patut bersabar, kerana mereka yang berpisah daripada jemaah Muslim meskipun sejengkal kemudiannya mati, dia akan mati seperti matinya mereka pada zaman Jahiliah (sebagai pelaku dosa yang memberontak)".
[Sahih Bukhari: Jilid 9, Buku 89: No. 257; Buku 20, no. 4559]

Berdasarkan hadith ini, Al-Hanafi berkata dalam bukunya, Umdah al-Qaari, Jilid 24, halaman 178:  "Barangsiapa yang meninggalkan pemerintahnya, bermaksud dia meninggalkan ketaatannya. Frasa, "...dia patut bersabar..." bermaksud seseorang itu patut bersabar berkenaan perkara yang tidak disukainya dan bukan untuk ketaatannya untuk mengelakkan darah dari ditumpahkan dan tribulasi. Dalam keadaan ini--melainkan pemerintah melakukan kufur yang nyata--dan berbuat menentang seruan Islam tiada ketaatan untuknya (si pemerintah)."

2. Diriwayatkan oleh  'Abdullah, Rasulullah SAW bersabda, "Seorang Muslim perlu mendengar dan mentaati (arahan pemerintahnya) sama ada dia menyukainya atau tidak, selagi arahan tersebut tidak melibatkan kelalaian (terhadap Allah), tetapi jika perbuatan melalaikan (kepada Allah SWT) diarahkan, seseorang itu tidak patut mendengar mahupun mentaatinya (arahan itu)" 
[Sahih Bukhari: Jilid 9, Buku 89, No. 258]

3. Telah diriwayatkan dengan autoriti Ibn `Umar yang Rasululllah (SAWS) bersabda: "Adalah wajib ke atas seorang Muslim untuk mendengar (kepada pemerintah yang dipilih) dan mentaatinya sama asa ia suka atau tidak, kecuali dia disuruh melakukan perkara berdosa, yang mana seorang Muslim tidak patut mendengar mahupun mentaati suruhan tadi." 
[Sahih Muslim: buku 20, No. 4533]

4. Imam An Nawawi, dalam 'Sharh Saheeh Muslim': Jilid 12, halaman 229: "Menentang dan memberontak terhadap mereka (pemerintah), adalah haram menurut konsensus Muslim, meskipun mereka (pemerintah terbabit) fasiq dan zalim." 

5. Al-Kirmaani, dalam 'Sharh Saheeh al-Bukhari', Jilid 10, halaman 169: "Mujtahid semuanya mempersetujui bahawa (imaam) pemerintah yang mengambil alih kuasa mesti ditaati selagi beliau mendirikan solat dan jihad. Begitulah, melainkan si pemerintah melakukan kufur hakikat (jelas) yang mana--dalam situasi itu--tidak dibenarkan untuk mentaatinya. Sesungguhnya, dalam kes itu, adalah menjadi kewajiban untuk menentangnya, bagi yang mempunyai kuasa melakukan sedemikian."

6. Ibn Battaal, menurut Ibn Hajar, 'Fath al-Baari', Jilid 7, halaman 13: "Para mujtahid bersetuju bahawa wajib untuk mentaati dan melakukan jihad dengan pemimpin yang berkuasa. Mentaatinya adalah lebih baik daripada menentangnya bagi menghalang pertumpahan darah dan menghindari bencana... tiada pengecualian untuk itu, melainkan pemerintah jatuh kepada kekufuran yang nyata." 

7. Al-Sharqawi; Al-Baijrami dan buku masing-masing 'Haashiyyah al-Sharqaawi', Jilid 2, halaman 398. Cf., 'Haashiyyah al-Baijrami', Jilid 4, halaman 300: "Pengharaman menentang pemerintah yang tidak adil diambil dengan persetujuan generasi terkemudian..." 

8.  Rasulullah (SAWS) bersabda: "Mereka ada hak pada kalian (rakyat) dan kalian ada hak terhadap mereka seperti itu juga. Selama mana mereka jika diminta untuk menyayangi maka mereka berkasih-sayang, jika berjanji mereka menepati dan membuat keputusan hukum mereka bertindak adil. Dan, siapa yang tidak melakukan itu dari mereka maka ia mendapat laknat Allah, malaikat dan manusia seluruhnya." 
[HR Imam Ahmad]

9. Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: "Pemimpin pilihan di antara kamu semua ialah orang-orang yang kamu cintai (suka), mereka juga mencintai kamu. Kamu semua mendoakan mereka untuk kebaikan begitu juga mereka mendoakan untuk kebaikan kamu. Adapun pemimpin-pemimpin yang jahat di kalangan kamu ialah orang-orang yang kamu benci mereka, dan mereka pun benci kepada kamu. Kamu melaknat mereka dan mereka juga melaknat kamu." Auf bin Malik bertanya kepada Rasulullah, “Apakah kita tidak boleh menentang mereka? Sabda baginda,"Jangan menentang mereka selama mereka masih mendirikan sembahyang di kalangan kamu." 
[HR. Sahih Muslim]

10. Berkenaan isu kebangkitan Al Hassan bin Ali, penduduk Harrah dan Al-Qurra' menentang Al-Hajjaj, Ibn Taimiyyah dalam  Minhaaj al-Sunnah dan Ibn Hajar dalam Fath al-Baari telah menerangkan bahawa mereka tidak memuji tindakan mereka itu (menentang Al-Hajjaj). 

11. Penentangan terhadap pemimpin (meskipun pemimpin tadi berlaku tidak adil dan opresif) tidak disukai kebanyakan sahabat seperti Saad ibn Abi Waqqaas,  Usaamah ibn Zaid, ibn Umar, Muhammad ibn Maslama. Al-Fadhil Ustaz Murad dari Singapura menyebut golongan Ashaab Al-Hadith dan Ahl Al-Hadith turut berpandangan serupa.

12. Seorang sahabat mengajukan hadith ini: 
Ka’ab bin Ujrah r.a. berkata bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: "Akan datang di kemudian hari nanti, setelah aku tiada; beberapa pemimpin yang berdusta dan berbuat aniaya. Maka siapa yang membenarkan kedustaan mereka dan membantu tindakan mereka yang aniaya itu, maka ia bukan umatku, dan bukanlah aku daripadanya. Dan tidak akan dapat sampai ke telaga (yang ada di syurga)."

[Riwayat Tirmidzi, Nasae’i dan Hakim]

a. Saya tidak melihat apa-apa masalah hadith ini dengan idea "...jangan menentang pemimpin...". Kita sekarang sudah cukup faham betapa Islam melarang seorang Muslim untuk menentang pemimpinnya. Tetapi adakah dengan itu, kita wajib menyetujui segala pendustaannya dan mengangguk pada perbuatan zalimnya? Tidak. Kita disuruh untuk membenci perbuatannya, tetapi tetap bersabar berimamkannya.

 b. Solusi mudahnya di sini adalah taat, tetapi jangan sokong perbuatan pemimpin yang zalim tadi. Ya, kita perlu mentaati pemerintah, tetapi janganlah sampai mengorbankan prisip Islam itu sendiri yang berbunyi, 'Amar ma`ruf nahi mungkar'.

c. Satu lagi soalan, "Kalau pemimpin tadi membunuh keluarga anda, adakah anda akan berdiam?". Jawaban saya mudah, "Tidak, tetapi saya akan mendakwanya di bawah akta jenayah Islam/negara". Dalam Islam, tiada manusia yang bebas daripada perundangan dan eksekutif kerajaan. Daulah Islami mendahului daulah pemerintah dan daulah ini perlu ditaati tidak kiralah siapa pesalahnya.

Jadi begitulah... senarai dalil yang saya temui semampunya. Tidak dinafikan ada kelompok yang masih percaya penentangan (seperti demonstrasi) adalah halal, itu adalah berhubung dengan perbezaan pendapat dan kecenderungan terhadap pihak yang mana. Setakat ini, saya pro-pemerintah dan pro-Islam. 

Pengakhiran pos ini , saya tidak tuliskan apa-apa konklusi. Saya memberi ruang kepada pembaca untuk menilai dan membuat refleksi/analisis sendiri. Sebarang kesilapan, dan kekhilafan.. tegur saja dan sila beri keterangan minta tunjuk ajar anda semua. Semoga Allah SWTmemepermudahkan bagi kita segala urusan berhubung topik ini dan dengan rahmatNya, Selamat beramal. Wallahu`alam.

Sumber/bacaan lanjut:  
-ditulis oleh Ibnu Yunus pada 29 Jun 201, 12:14 AM-

Friday, August 12, 2011

Muzik Haraam?


Persoalan keharaaman hiburan-spesifiknya muzik-sudah menjadi suatu tradisi sepanjang perkembangan intelektual dan sektarial umat Islam. Terdapat banyak pendapat, dengan dalil yang pelbagai yang dikeluarkan oleh ulama-ulama dalam mengamati perihal furu' ini. Ibn Hazm, Ibn Qudaimah dan ramai lagi mujahid serta mujaddid tidak 'melepaskan peluang' untuk menyuarakan pendapat mereka.

Lontaran Hati Penulis

Begitupun Islam-pada kaca mata sesetengah cedekiawan-dianggap sebagai murunah (fleksibe) dalm jamil (indah). Apapun jenis keindahan adalah suatu pemberian Tuhan dan sepatutnya diberi penghargaan. Atas alasan nikmat Allah tidak boleh didusta/nafikan. Perhatikan Surah Ar-Rahmaan, ayat 55, "Nikmat Tuhanmu yang manakah yang kamu dustakan?".

Penulis tidak pula melabel semua keindahan itu adalah baik. Berzina mungkin indah, tetapi tidak baik. Asasnya ada dua; buruk secara akali dan buruk (haraam) secara naas. Untuk muzik, setakat ini, muzik tidak menemukan dalil hadith mahupun Al-Qur`an yang cukup kuat untuk mengharamkan muzik. Sayugia diingat, apa-apa perkara bukan ibadah/syari`at ataupun `urf yang tiada dalil pengharamannya, dianggap sebagai mubah.

Dalam Surah Ad-Dzariyat ayat 56, Allah SWT berfirman, "Dan ingatlah, Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu". Ini merupakan manifestasi erti hidup dalam Islam. Berpegang dengan ini, tiada masalah saya kira untuk memanipulasikan perkara mubah yakni muzik, untuk memperhambakan diri kepada Pencipta. Hak Allah SWT untuk disembah, dipatuhi serta ditunduki menjadi kunci asas dalam menjustifikasikan sesuatu itu sebagai haraam mahupun makruh. Jika objektif ini diingkari, maka haramlah sesuatu perkara itu.

(Penulis menganggap muzik sebagai pisau. Kalau digunakan untuk membunuh orang, sudah tentulah haram hukumnya. Tetapi yang haraam di sini bukanlah pisau itu, melainkan fi`il membunuh tadi.)

Untuk penulisan ke bawah, penulis ingin menyebutkan dua pendapat asas berkenaan perihal status muzik dalam Islam Dipersembahkan hukum beserta hujah mereka, dengan sedikit ringkas. Ulama-ulama muktabar juga diutarakan pendapat mereka agar bolehlah kita menentukan hujjah siapa lagi kukuh. Kekhilafan ulama adalah suatu pembenaran untuk memilih hukum yang mana satu. Ini yang penulis pernah belajar.

Mengharamkan

Golongan yang mengharamkan muzik menyandarkan pendapat mereka kepada pentafsiran ayat Al-Qur`an seperti Surah Ali Imraan ayat 6 dan Surah An-Najm ayat 59-61. Mereka memegang tafsir At-Tabari, Al-Qurtubi, Ibn Kathir, Hasan Al-Basri dan Al-Albani sebagai rujukan utama. Ingin ditekankan, tafsir ini adalah non-mutlak dan boleh disyarahkan lagi dengan lebih dalam.

Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah merupakan tokoh muktabar yang mengharamkan muzik dalam Islam. Sebilangan tokoh lain yang mempunyai fikrah yang sama adalah Mujahid, `Abd Allah ibn Abbaas, Abu Umamah Al-Bahili dan Abdur Rahman ibn Saabit.

Menghalalkan

Pihak penghalal muzik juga mempunyai hujah yang tidak kurang kuatnya. Mereka berpendapat bahawa tiada satupun dalil yang dikemukan boleh dianggap sebagai dalil yang jelas. Ibn Hazm melabelkan hadith-hadith yang diutarakan golongan pembenci muzik sebagai maudhu dan dhaif; serta penghuraian tidak jelas mengharamkan muzik.Al-Qadi Abu Bakr ibn `Arabi dalam buku beliau 'Al-Ahkam' menyatakan bahawa "Tiada hadith yang menyatakan muzik sebagai haraam, dianggap sahih oleh ulama hadith". Terdapat juga ahli ulama dari golongan ini, mengkritik cara pentafsiran ahadith serta Al-Qur'an yang dilakukan mujahid pengharam muzik sebagai tidak telus dan aneh. 

Ulama Malaysia dalam pada itu, mengutarakan dalil sikap keterbukaan Rasulullah SAW dalam menerima dua orang jari`ah yang bernyanyi ketika Baginda sedang tidur. Perbuatan Saidina Abu Bakr r.a yang mengherdik dua jari`ah tadi ditegur oleh Baginda. Hadith ini adalah sahih atas periwayatan Bukhari dan Muslim, riwayat Khalid bin Zakwan dengan Ar-Rabi' binti Ma`waz. 

Antara tokoh yang menerima pandangan ini adalah Ibn Hazm, Al-Qadi Abu Bakr ibn `Arabi, Al-Ghazali, Ibn An-Nahwi, Ar-Ruwaiyani, Al-Qaffal, Abu Mansur Al-Furan, Ibn Tahir, Al-Mawardi dan Abu Al-Fadl ibn Tahir. Jemaah Islam Malaysia pun turut mengambil fikrah ini dalam fatwa JAKIM 1 Januari 1970 Masihi. 

Syeikh Yusuf Al-Qardawi pula maju dengan hukum mubah dan bersyarat, seperti yang beliau tuliskan dalam bukunya, 'Yang Dibenarkan dan Dilarang Dalam Islam'. Menurut beliau, terdapat empat perkara yang perlu dipatuhi dan jika dilanggar, menyebabkan sesebuah lagu jatuh ke dalam kategori haraam. Empat perkara itu adalah batas jenis lagu, batas bentuk persembahan, batas perkara yang sesuatu libatkan dan batas pergaulan.

Monday, August 8, 2011

Huduud?

"..supaya Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan agama (dari kalangan kamu) beberapa darjat.." -Surahtul Mujadilaa 11

Thursday, May 5, 2011

Zikir, Tilawah dan Solat

Bismillahir Rahmanir Rahiim..


Telah terjadi perbincangan antara saya dengan seorang teman berkenaan hukum melantangkan suara dalam majlis zikir dan tazkirah selepas solat, sedang ada jemaah sedang bersolat di belakang. Perbincangan memuncak pada satu hadith Nabi yang dipetik dari kitab Fadhlatula `Amal dan sepotong ayat Al Qur'an yang didengarnya:
"Berzikirlah kamu sehingga orang munafiiq mengatakan kamu gila"
Selain daripada itu,ayat 15 Surahtul A'laa menyebut:
وَذَكَرَ ٱسۡمَ رَبِّهِۦ فَصَلَّىٰ
"Dan menyebut-nyebut dengan lidah dan hatinya akan nama Tuhannya serta mengerjakan sembahyang (dengan khusyuk)."
Meskipun hal ini kelihatan mudah, kita perlu mengambil serius akannya. Terjadi di setiap surau dan masjid,imam dan makmum yang tamat bersolat,membacakan zikir dengan kuatnya,sedang kedapatan orang sedang bersolat.

Kuatnya bacaan zikir/tazkirah/Al Qur'an berkemungkinan mengganggu perhatian mereka terhadap solat yang dilakukan. Kekhusyukan solat akan terjejas. Dalam hal ini, kita perlu melihat maslahah umat-maknanya kebaikannya terhadap umat dan taraf ibadah, mana yang lebih dipentingkan dalam Islam.

Merujuk kepada hadith di atas yang dipetik dari Kitab Fadhlatul Amal, saya berpendapat bahwa amalan berzikir "sehingga kamu dianggap gila" tidaklah semestinya kuat dan lantang. Berkenaan dengan hal ini,perbuatan berzikir dengan perlahan dan berterusan pun boleh meletakkan kita dalam gelaran "sehingga golongan munafiq memanggilmu gila". Mereka yang berzikir dengan kuat tetapi sekejap mungkin tidak dilabelkan sebagai gila, berbanding dengan mereka terkumat-kamit secara berterusan menyebut namaNya.

Berkenaan dengan ayat Al Qur'an yang disebutkan tadi,saya tidak menjumpai terjemahan yang menyamai dengan terjemahan Bahasa Melayu tersebut;

Dr Mohsin:
" And REMEMBER (glorifies) the Name of his Lord (worships none but Allâh), and prays (five compulsory prayers and Nawâfil — additional prayers)."
Pickthall-Audio:
"And REMEMBERETH the name of his Lord, so prayeth"
Abdul Daryabadi:
"And who REMEMBERETH the name of his Lord, and then prayeth."
Yusuf Ali:
"And GLORIFY the name of their Guardian-Lord, and (lift their hearts) in Prayer."
Indonesia:
"Dan dia INGAT nama Tuhannya, lalu dia sembahyang"

Menurut kelima-lima terjemahan ini, tiada disebut berzikir dengan lidah seperti yang diterjemahkan oleh mufasir kita. Bukan dengan lidah, melainkan dengan MENGINGATI nama Allah SWT.

Dalam menguatkan hujah, saya memetik dua hadith yang menyebutkan secara jelas akan hal ini, serta tiga potongan ayat Al Qur'an yang menyokong perbuatan berzikir dengan perlahan.
Dari Said Al Khudri,katanya:"Ketika kami bergerak (pindah) dan sampai ke sebuah pergunungan,kamipun bertasbih dan bertakbir dengan kuat.Lalu,Nabi Muhammad (SAW) bersabda:"Berlembutlah kamu dengan dirimu.Sesungguhnya Dia yang kamu sebut namaNya itu Mendengar apa yang kamu ucapkan.."
-Riwayat Abu Daud.
"Ketika kami membacakan Al Qur'an,Nabi Muhammad SAW menyelak tabir lantas bersabda:"Sesungguhnya orang yang bersolat itu berbicara dengan TuhanNya.Maka janganlah engkau ganggu mereka dengan suaramu.."
-Riwayat Abu Daud  
Di sini kita dapat melihat, membaca Al Qur'an pun diseru untuk diperlahankan suara, apalagi zikir dan doa.. maka kepada mereka yang melihat orang bersolat, sedang dia membaca Al Qur'an,berzikir atau sebagainya, perlahankan suara anda. Tidak berkurang pahala amal yang anda lakukan, sama saja.

Surahtul Taahaa,ayat 7:
 وَإِن تَجۡهَرۡ بِٱلۡقَوۡلِ فَإِنَّهُ ۥ يَعۡلَمُ ٱلسِّرَّ وَأَخۡفَ
"Dan jika engkau menyaringkan suara dengan doa permohonanmu, (maka yang demikian tidaklah perlu), kerana sesungguhnya Allah mengetahui segala rahsia dan segala yang tersembunyi."
Surahtul Mulk,ayat 14:
وَأَسِرُّواْ قَوۡلَكُمۡ أَوِ ٱجۡهَرُواْ بِهِۦۤ‌ۖ إِنَّهُ ۥ عَلِيمُۢ بِذَاتِ ٱلصُّدُورِ
"Dan tuturkanlah perkataan kamu dengan perlahan atau dengan nyaring, (sama sahaja keadaannya kepada Allah), kerana sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan segala (isi hati) yang terkandung di dalam dada."
Malah,berbuat dosapun dalam hatipun,dapat diketahui olah Sami'ul Basiir. Surahtul Insyiiqaq,ayat 23:
إِنَّهُ ۥ كَانَ فِىٓ أَهۡلِهِۦ مَسۡرُورً
"Sedang Allah mengetahui apa yang mereka rahsiakan dalam hati."
Sebagai penutup, hayatilah dan amalkan satu hadith Nabi Muhammad SAW ini; "Sampaikanlah daripadaku walau sepotong ayat". Jika terdapat kesilapan dan ralat yang perlukan diperbetulkan, maklum secepatnyaWallahu'alam fis sawab. Salaam,


وَلۡتَكُن مِّنكُمۡ أُمَّةٌ۬ يَدۡعُونَ إِلَى ٱلۡخَيۡرِ وَيَأۡمُرُونَ بِٱلۡمَعۡرُوفِ وَيَنۡهَوۡنَ عَنِ ٱلۡمُنكَرِ‌ۚ وَأُوْلَـٰٓٮِٕكَ هُمُ ٱلۡمُفۡلِحُونَ
"Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam) dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji) dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya."