Sebagaimana yang dimaklumi, puasa bermaksud menahan diri daripada makan dan minum serta perkara-perkara yang membatalkannya bermula daripada terbit fajar sadiq (masuk waktu subuh) hingga terbenam matahari (masuk waktu maghrib) disertai dengan niat dan syarat-syarat yang tertentu.
Dalil waktu bermulanya puasa adalah sebagaimana firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 187 yang bermaksud:
“dan makanlah serta minumlah sehingga nyata kepada kamu benang putih (cahaya siang) dari benang hitam (kegelapan malam) iaitu (waktu) fajar, kemudian sempurnakanlah puasa itu hingga waktu malam (maghrib)”.
Berdasarkan kepada dalil tersebut maka jelaslah bahawa waktu puasa itu bermula apabila masuknya waktu Subuh. Hal ini telah pun disepakati oleh Ijma’ Ulama’. Adapun waktu imsak yang diamalkan bermula kira-kira 10 minit sebelum masuknya waktu subuh atau kira-kira tempoh membaca 50 ayat al-Qur’an yang sederhana panjang. Imsak adalah perkataan bahasa Arab yang bermaksud menahan daripada sesuatu.
Waktu imsak ini adalah sebaik-baik waktu bagi seseorang itu berhenti makan/minum ketika bersahur bagi membolehkannya bersiap-siap untuk menantikan masuknya waktu subuh dan juga sebagai waktu ihtiati (berjaga-jaga/berwaspada) agar tidak tergopoh-gapah bersahur hingga masuknya waktu subuh. Bersahur ketika hampir waktu imsak ini juga adalah lebih afdhal kerana ia amalan Rasulullah SAW sebagaimana maksud hadis daripada Zaid bin Thabit iaitu:
Kami sahur bersama Rasulullah SAW kemudian kami berdiri solat. Saya bertanya “berapa lama jarak antara kedua-duanya itu?”, baginda bersabda “50 ayat al-Qur’an” (HR Bukhari).
Jadi jelaslah apa itu waktu imsak dan waktu bermulanya puasa (subuh). Kesimpulannya, mereka yang makan/minum selepas waktu imsak tidaklah membatalkan puasanya selagi mana tidak sampai masuknya waktu subuh tetapi bersahur ketika hampir waktu imsak (tidak terlalu cepat atau lambat) adalah yang digalakkan kerana ia sunnah Rasulullah SAW dan merupakan adab bersahur yang sangat baik. Meninggalkan sunnah Rasulullah SAW dengan sengaja tanpa alasan munasabah adalah makruh dan tidak terpuji. Demi menjaga kesempurnaan ibadah puasa kita dan lebih beradab dalam melaksanakan perintah Allah maka adalah baik jika kita mengikut panduan yang diberi. Sesungguhnya Allah Ta’ala lebih mengetahui.
P/S:
1. Waktu Imsak adalah sebaik-baik waktu untuk berhenti makan dan minum kerana ia merupakan Sunnah Rasulullah SAW.
2. Makan dan minum selepas waktu Imsak tidak membatalkan puasa selagi belum masuk waktu subuh dan menurut pendapat Ulama’ hukumnya adalah Makruh...
[Sumber: Jabatan Mufti Negeri Melaka, Malaysia]
No comments:
Post a Comment