Showing posts with label Ibadah. Show all posts
Showing posts with label Ibadah. Show all posts

Sunday, October 2, 2011

Merenung Solat


Salaam. Pos ini ditulis sebagai respon terhadap pandangan sesetengah pihak yang memandang ringan hukum kewajiban solat.

Cuba kita renungkan...

Jikalau satu rakaat mengambil masa 1.5 minit, maka 17 rakaat solat fardhu kita sehari semalam cumalah berdurasi 25.5 minit. Dalam seminggu, 178.5 minit, dalam sebulan 765 minit, dan dalam setahun 9307.5 minit, bersamaan 155.125 jam. 

Sekarang bayangkan pula umur kita mencecah 60 tahun (menurut hadith yang saya pernah baca), dan umur mukallaf kita adalah sepuluh tahun (umur diwajibkan bersolat), maka jangka masa diperintahkan bersolat adalah lima puluh tahun. Ini bermakna- jika solat lima waktu dijalankan secara konsisten selama waktu lima puluh tahun itu, sebenarnya, kita hanya membelanjakan 0.85 tahun daripada keseluruhan usia kita untuk bersolat. Ini bersamaan 1.417% dari keseluruhan hayat kita.

Begitupun besar nikmat Allah SWT, dan sungguhpun begitu ringan ibadah yang Dia Perintahkan, suruhan itu masih terlalu berat untuk kita laksanakan. Bahkan, ada yang tidak melaksanakannya langsung, mendabik dada di muka bumi Allah dengan kesenangan dan limpah kenikmatan yang dia ada.

Signifikan solat dalam Islam















Solat dalam Islam mempunyai banyak kepentingan. Dan setiap satu kepentingan menjadi dasar atau identiti Islam itu sendiri. Setiap perlakuan dan ucapan di dalamnya merupakan simbolik hidup sebagai Muslim. Sheikh Al-Akbar Ibnu `Arabi (r.a) dalam buku beliau, 'Jalan Selamat Menuju Allah SWT' mengatakan bahawa:

  1. Wudhu adalah simbolik kebersihan dan airnya adalah simbolik kebijaksanaan.
  2. Pemaduan seluruh umat mukmin terhada kiblah yang satu melambangkan kesatuan tauhid mereka.
  3. Surah Al-Fatihah merupakan dialog Tuhan dan hamba-Nya, dan di tengahnya ada kunci kesedaran.
  4. Ruku' melambangkan kelemahan haiwani kita.
  5. Bangkit bertama'ninah melambangkan pengembalian kemanusiaan.
  6. Bersujud melambangkan kesyukuran (menurut Hujjatul Islam, Syeikh Ahmad Deedat, ianya melambangkan keTinggian Darjat Allah SWT).
  7. Duduk antara dua sujud melambangkan Kebangkitan dan Hari Pengadilan.
  8. Memberi salam menjadi simbolik kehilangan kita tempat bergantung kita di sana nanti. Di kiri dan kanan tiada sesiapa melainkan diri kita.
Selain itu, solat juga menjadi seakan cop mohor/stempel/kad identiti seseorang Muslim. Menurut hadith dari Jabir bin Abdullah (r.a), hasil riwayat Imam Ahmad dan Muslim, tanpa mengerjakan solat (dengan tiada ke`uzuran) seseorang itu jatuh kafir. Meskipun para `ulama mentafsirkan bahawa hadith itu hanya untuk mereka yang mengingkari kewajipan solat, Ibnu Mubarak, Abdullah bin Mas`ud (r.a) dan Para Sahabat (r.a) tetap berpendapat bahawa meninggalkan solat fardhu itu membatalkan keIslaman. Wallahu`alam.

Dan kepentingan terakhir solat adalah untuk mensucikan diri. Terdapat banyak penyucian berlaku sepanjang proses solati itu berlaku. Ini dibuktikan dalam Surahtul A`laa, ayat 14 dan 15. Antara contoh penyucian itu ialah:
  1. Wudhu' menyucikan diri secara lahiriah. 
  2. Penetapan pada satu kiblah menyucikan diri dari keegoan. Mukmin yang sejati tidak akan bertanya kenapa Ka`bah dan bukan Baitul Maqdis, sebaliknya dia akan patuh dengan rasa rendah hati dan berserah terhadap penetapan itu.
  3. Pembacaan ayat-ayat Al-Qur`an di dalamnya mmenyucikan fikiran dan jiwa dari perkara-perkara buruk dan zalim. Atas alasan inilah, Rasulullah SAAS pernah memberikan jaminan tidak akan melakukan kemungkaran seseorang itu, jika solat dilaksanakan dengan sempurnanya.
  4. Penyucian diri melalui solat fardhu lima kali sehari diumpamakan sebagai mandi lima kali sehari.

Sunday, August 14, 2011

Apakah maksud Waktu Imsak?

Sebagaimana yang dimaklumi, puasa bermaksud menahan diri daripada makan dan minum serta perkara-perkara yang membatalkannya bermula daripada terbit fajar sadiq (masuk waktu subuh) hingga terbenam matahari (masuk waktu maghrib) disertai dengan niat dan syarat-syarat yang tertentu.

Dalil waktu bermulanya puasa adalah sebagaimana firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 187 yang bermaksud:

“dan makanlah serta minumlah sehingga nyata kepada kamu benang putih (cahaya siang) dari benang hitam (kegelapan malam) iaitu (waktu) fajar, kemudian sempurnakanlah puasa itu hingga waktu malam (maghrib)”.

Berdasarkan kepada dalil tersebut maka jelaslah bahawa waktu puasa itu bermula apabila masuknya waktu Subuh. Hal ini telah pun disepakati oleh Ijma’ Ulama’. Adapun waktu imsak yang diamalkan bermula kira-kira 10 minit sebelum masuknya waktu subuh atau kira-kira tempoh membaca 50 ayat al-Qur’an yang sederhana panjang. Imsak adalah perkataan bahasa Arab yang bermaksud menahan daripada sesuatu.

Waktu imsak ini adalah sebaik-baik waktu bagi seseorang itu berhenti makan/minum ketika bersahur bagi membolehkannya bersiap-siap untuk menantikan masuknya waktu subuh dan juga sebagai waktu ihtiati (berjaga-jaga/berwaspada) agar tidak tergopoh-gapah bersahur hingga masuknya waktu subuh. Bersahur ketika hampir waktu imsak ini juga adalah lebih afdhal kerana ia amalan Rasulullah SAW sebagaimana maksud hadis daripada Zaid bin Thabit iaitu:

Kami sahur bersama Rasulullah SAW kemudian kami berdiri solat. Saya bertanya “berapa lama jarak antara kedua-duanya itu?”, baginda bersabda “50 ayat al-Qur’an” (HR Bukhari).

Jadi jelaslah apa itu waktu imsak dan waktu bermulanya puasa (subuh). Kesimpulannya, mereka yang makan/minum selepas waktu imsak tidaklah membatalkan puasanya selagi mana tidak sampai masuknya waktu subuh tetapi bersahur ketika hampir waktu imsak (tidak terlalu cepat atau lambat) adalah yang digalakkan kerana ia sunnah Rasulullah SAW dan merupakan adab bersahur yang sangat baik. Meninggalkan sunnah Rasulullah SAW dengan sengaja tanpa alasan munasabah adalah makruh dan tidak terpuji. Demi menjaga kesempurnaan ibadah puasa kita dan lebih beradab dalam melaksanakan perintah Allah maka adalah baik jika kita mengikut panduan yang diberi. 
Sesungguhnya Allah Ta’ala lebih mengetahui.

P/S: 



1. Waktu Imsak adalah sebaik-baik waktu untuk berhenti makan dan minum kerana ia merupakan Sunnah Rasulullah SAW.

2. Makan dan minum selepas waktu Imsak tidak membatalkan puasa selagi belum masuk waktu subuh dan menurut pendapat Ulama’ hukumnya adalah Makruh...

[Sumber: Jabatan Mufti Negeri Melaka, Malaysia]