Friday, August 12, 2011

Muzik Haraam?


Persoalan keharaaman hiburan-spesifiknya muzik-sudah menjadi suatu tradisi sepanjang perkembangan intelektual dan sektarial umat Islam. Terdapat banyak pendapat, dengan dalil yang pelbagai yang dikeluarkan oleh ulama-ulama dalam mengamati perihal furu' ini. Ibn Hazm, Ibn Qudaimah dan ramai lagi mujahid serta mujaddid tidak 'melepaskan peluang' untuk menyuarakan pendapat mereka.

Lontaran Hati Penulis

Begitupun Islam-pada kaca mata sesetengah cedekiawan-dianggap sebagai murunah (fleksibe) dalm jamil (indah). Apapun jenis keindahan adalah suatu pemberian Tuhan dan sepatutnya diberi penghargaan. Atas alasan nikmat Allah tidak boleh didusta/nafikan. Perhatikan Surah Ar-Rahmaan, ayat 55, "Nikmat Tuhanmu yang manakah yang kamu dustakan?".

Penulis tidak pula melabel semua keindahan itu adalah baik. Berzina mungkin indah, tetapi tidak baik. Asasnya ada dua; buruk secara akali dan buruk (haraam) secara naas. Untuk muzik, setakat ini, muzik tidak menemukan dalil hadith mahupun Al-Qur`an yang cukup kuat untuk mengharamkan muzik. Sayugia diingat, apa-apa perkara bukan ibadah/syari`at ataupun `urf yang tiada dalil pengharamannya, dianggap sebagai mubah.

Dalam Surah Ad-Dzariyat ayat 56, Allah SWT berfirman, "Dan ingatlah, Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu". Ini merupakan manifestasi erti hidup dalam Islam. Berpegang dengan ini, tiada masalah saya kira untuk memanipulasikan perkara mubah yakni muzik, untuk memperhambakan diri kepada Pencipta. Hak Allah SWT untuk disembah, dipatuhi serta ditunduki menjadi kunci asas dalam menjustifikasikan sesuatu itu sebagai haraam mahupun makruh. Jika objektif ini diingkari, maka haramlah sesuatu perkara itu.

(Penulis menganggap muzik sebagai pisau. Kalau digunakan untuk membunuh orang, sudah tentulah haram hukumnya. Tetapi yang haraam di sini bukanlah pisau itu, melainkan fi`il membunuh tadi.)

Untuk penulisan ke bawah, penulis ingin menyebutkan dua pendapat asas berkenaan perihal status muzik dalam Islam Dipersembahkan hukum beserta hujah mereka, dengan sedikit ringkas. Ulama-ulama muktabar juga diutarakan pendapat mereka agar bolehlah kita menentukan hujjah siapa lagi kukuh. Kekhilafan ulama adalah suatu pembenaran untuk memilih hukum yang mana satu. Ini yang penulis pernah belajar.

Mengharamkan

Golongan yang mengharamkan muzik menyandarkan pendapat mereka kepada pentafsiran ayat Al-Qur`an seperti Surah Ali Imraan ayat 6 dan Surah An-Najm ayat 59-61. Mereka memegang tafsir At-Tabari, Al-Qurtubi, Ibn Kathir, Hasan Al-Basri dan Al-Albani sebagai rujukan utama. Ingin ditekankan, tafsir ini adalah non-mutlak dan boleh disyarahkan lagi dengan lebih dalam.

Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah merupakan tokoh muktabar yang mengharamkan muzik dalam Islam. Sebilangan tokoh lain yang mempunyai fikrah yang sama adalah Mujahid, `Abd Allah ibn Abbaas, Abu Umamah Al-Bahili dan Abdur Rahman ibn Saabit.

Menghalalkan

Pihak penghalal muzik juga mempunyai hujah yang tidak kurang kuatnya. Mereka berpendapat bahawa tiada satupun dalil yang dikemukan boleh dianggap sebagai dalil yang jelas. Ibn Hazm melabelkan hadith-hadith yang diutarakan golongan pembenci muzik sebagai maudhu dan dhaif; serta penghuraian tidak jelas mengharamkan muzik.Al-Qadi Abu Bakr ibn `Arabi dalam buku beliau 'Al-Ahkam' menyatakan bahawa "Tiada hadith yang menyatakan muzik sebagai haraam, dianggap sahih oleh ulama hadith". Terdapat juga ahli ulama dari golongan ini, mengkritik cara pentafsiran ahadith serta Al-Qur'an yang dilakukan mujahid pengharam muzik sebagai tidak telus dan aneh. 

Ulama Malaysia dalam pada itu, mengutarakan dalil sikap keterbukaan Rasulullah SAW dalam menerima dua orang jari`ah yang bernyanyi ketika Baginda sedang tidur. Perbuatan Saidina Abu Bakr r.a yang mengherdik dua jari`ah tadi ditegur oleh Baginda. Hadith ini adalah sahih atas periwayatan Bukhari dan Muslim, riwayat Khalid bin Zakwan dengan Ar-Rabi' binti Ma`waz. 

Antara tokoh yang menerima pandangan ini adalah Ibn Hazm, Al-Qadi Abu Bakr ibn `Arabi, Al-Ghazali, Ibn An-Nahwi, Ar-Ruwaiyani, Al-Qaffal, Abu Mansur Al-Furan, Ibn Tahir, Al-Mawardi dan Abu Al-Fadl ibn Tahir. Jemaah Islam Malaysia pun turut mengambil fikrah ini dalam fatwa JAKIM 1 Januari 1970 Masihi. 

Syeikh Yusuf Al-Qardawi pula maju dengan hukum mubah dan bersyarat, seperti yang beliau tuliskan dalam bukunya, 'Yang Dibenarkan dan Dilarang Dalam Islam'. Menurut beliau, terdapat empat perkara yang perlu dipatuhi dan jika dilanggar, menyebabkan sesebuah lagu jatuh ke dalam kategori haraam. Empat perkara itu adalah batas jenis lagu, batas bentuk persembahan, batas perkara yang sesuatu libatkan dan batas pergaulan.

No comments:

Post a Comment