Terdapat suatu persoalan yang bermain di minda penulis yang baru kini, penulis tahu jawabannya. Alhamdulillah, segala keraguan yang penulis alami akhirnya terjawab dengan mudah dan indah dan syukur juga, penulis kembali teguh pada Islam. Yalah, sebagai manusia, penulis sendiripun ada juga keraguan berkenaan hal-hal tertentu dalam Islam.
Dalam berhadapan situasi sebegitu, penulis mengutarakan tiga komen. Pertama, jangan risau dengan keraguan atau was-was dalam agama. Itu bermaksud anda progresif dan sentiasa cuba memahami agama dan sekali gus menjauhkan anda dari taqlid a`maa (masalah taqlid a`maa sekarang ini semakin teruk). Kedua, kalau sudah ada keraguan itu, cepat-cepatlah cari resolusi. Jangan dibiarkan bersarang dan menjadi mainan minda. Bahaya; sebab ia akan menyebabkan keraguan itu jadi tabiat dan buat kejadian. Rujuki Al-Qur`an dan ahadith. Baca penulisan jumhur ulama dan jangan malu bertanya.
Ketiga, beringatlah bahawa Islam agama yang benar. Dihadapkan dengan apa persoalan sekalipun, Islam pasti ada jawabannya. Cuma kita ini yang perlu rajin meneroka daerah ilmu Islam dan dunya ini. Dalam beragama, penulis berpegang kepada prinsip, "Sesungguhnya keraguan ini adalah ujian". Ianya berkesan dan setakat ini, belum pernah mengecewakan. Berpegang teguhlah pada agama dengan gigi geraham kamu (pesaan untuk penulis dan pembaca).
Baiklah, balik kepada topik- persoalan yang terperap dalam fikiran penulis adalah: "Kenapa dalam Al-Qur`an ada perkataan 'Kami' dan 'Aku' yang digunakan Tuhan?". Cuba bandingkan ayat 23 dalam Surahtul Mukminuun dengan ayat 16, Surah At-Tariiq. Beza, kan?
Bagi jiwa yang lemah, persoalan seringkas ini sudah cukup untuk menggugah iman mereka. Penulis sendiri; berusaha hampir tiga bulan untuk mencari jawaban kepada persoalan ini. Sukar untuk menjawabnya jika kita menggunakan pemikiran Melayu. Mesti pembaca tertanya-tanya: mengapa dengan pemikiran Melayu, iman boleh runtuh?
Janganlah saudara-saudari sekalian lupa, bahawa Allah SWT telah menegur kita dalam Surahtul Huud, ayat 2; "Sesungguhnya Kami menurunkan Al-Qur`an itu dalam Bahasa Arab, agar kamu (menggunakan akal untuk) memahaminya". Subhanallah, Allah SWT jugalah yang membaca hati hamba-hambaNya.
Jadi, apa resolusi untuk persoalan di atas? Rupanya, ia jauh lagi mudah dari apa yang penulis sendiri fikirkan. Di bawah merupakan ekstrak jawaban yang diberikan oleh seorang hamba Allah yang berilmu dan saya berdoa, agar Allah SWT merahmati beliau atas jawabannya itu. Maaf, ada sedikit penambahan untuk melebarkan sedikit konteks:
"Bahasa `Arab ini adalah bahasa yang sangat unik. Justeru itulah dipilih ia sebagai bahasa Al-Qur`an, agar manusia memikirkan sedalam-dalamnya tentang Kitabullah ini. Dan kerana itulah juga, dengan sekadar pemahaman terhadap linguistik Bahasa Melayu atau Bahasa Inggeris tidak cukup untuk mentadabburi Al-Qur`an ini.
Berkenaan dengan persoalan kenapa kadangkala Allah SWT guna Kami dan kadangkala guna 'Aku' itu, agak mudah. Sebelum itu, cuba fikir: kenapa-jika persoalan ini melibatkan akidah-para Sahabat tidak mempersoalkannya di hadapan Baginda? Kenapa tidak ada satupun buku yang ditulis untuk merektifikasikan "kesalahan" ini? Hmm... sudah tentulah kerana para Sahabat dan ilmuwan Islam tidak mempunyai masalah langsung dalam memahaminya. Hal ini kerana menurut mereka, gelaran 'Aku' dan 'Kami' tidak membezakan dzat Allah SWT."
Dalam sistem Bahasa Arab, partikel '-na' (bermaksud individu plural/jama') mempunayi dua fungsi plural. Satu adalah plural dari segi bilangan dan satu lagi adalah dari segi keagungan. Penggunaan 'Kami' dalam Al-Qur`an menggunakan konteks 'Kami' sebagai perlambangan sebanyak-banyak keagungan Allah SWT."
Terima kasih Allah, terima kasih akhi. Wallahu`alam fissawab.
No comments:
Post a Comment