Kem Perkasa Akidah yang berlangsung dari lapan pagi ke empat setengah petang hari ini sungguh memperkasakan. Sememangnya jangkaan saya tepat; banyak ilmu akan saya ekstrak di sana. Tidak rugi pergi, untung tidak melepas.. :)
Kem dimulai dengan doa, serta sedikit pengenalan berkenaan motif, misi serta visi penubuhan kem. Diterajui bekas paderi besar, Saudara Nicholas Silvester (teringat Ustaz Farhan) dan Ustaz Abdullah, kem ini berteraskan dua cita-cita utama: pertamanya untuk membendung kes murtad ( tahu tak Datuk Harussani Zakaria, Mufti Perak mengatakan terdapat 250 ribu murtadin di seluruh Malaysia), dan untuk mengajak kaum kafir (Kristian, khususnya) kepada jalan Islam.
Ustaz Abdullah juga ada sedikit-sebanyak mengupas isu irtidad dalam kalangan warga Semenanjung di Borneo. Berdasarkan pengalaman, beliau mengatakan bahawa Sabah dan Sarawak mempunyai komuniti yang berpegang teguh dengan Kristian mereka. Dengan itu menurutnya, perlu untuk semua pelatih guru yang hadir ketika itu dihantar mengajar ke Sabah atau Sarawak. Untuk menjadi tentera Allah SWT melawan dakyah kesesatan Kristian.
Saya kagum.. |
Saya tidak dapat menolak kenyataan ustaz itu. Sememangnya ajaran Paulus (Kristian) tumbuh subur di seluruh bahagian Sabah. Dari Kota Marudu ke Tenom, ke Sipitang dan Pitas, gereja didirikan dengan skala serta proporsi yang sangat menakutkan. Keadaan ini menyumbang kepada perang saraf dalam kalangan masharakat yang berbilang agama di Malaysia, atau Sabah khususnya. Kristianisasi di Sabah bagai kulat tumbuh di atas roti, bugar menjalarkan akar kepalsuannya.
Justeru itu, beliau menegaskan betapa pentingnya peranan guru dalam menyelitkan sedikit slot akidah dalam PnP. Mendengar seruannya, saya--seorang bakal guru--terus bertenaga semula. Kita tidak akan pernah tahu, bila-bila saja seorang mubaligh akan datang kepada anak kita dengan sebeg penuh flyers. Bagi sedikit habuan, kemudian dedahkan anak kita dengan akidah yang tidak-tidak. Ya, Sabah memang memerlukan barisan panel Islam yang mahir. Dan ia perlukan mereka sekarang.
Balik kepada topik: sebenarnya, untuk entri kali ini, saya ingin berkongsi sedikit pendapat berkenaan dakwaan Benjamin Stephen yang memfitnah ayat Al Qur'an. Kenalkah anda? Ini dia:
Benjamin Stephen.. murtadin yang pernah bersekolah di sebuah sekolah agama. Saya jadi blogger Muslim pertama mungkin, tidak mengutuk beliau. |
Benjamin Stephen (dalam salah satu majalah Al-Islam yang saya baca) merupakan mangsa seks di sekolah agamanya itu. Kesahihan cerita ini tidak pula saya ketahui, tetapi kalaulah ia benar, maka kita tidak boleh menolak kenyataan bahawa dia mungkin terpengaruh dengan trauma silamnya itu.
Semasa kem dijalankan, Ustaz Abdullah (panel penceramah yang berasal dari Kedah) menceritakan serba sedikit berkenaan latar belakang lelaki ini yang berasal dari Ipoh, Perak dan bersekolah di Sekolah Agama Izzudin (perbetulkan jika ralat). Selain itu, Ustaz Abdullah juga menayangkan sebuah video. Heronya tidak lain dan tidak bukan, Benjamin Stephen a.k.a Badrul Hisyam. Berdiri di atas rostrum dan berbaju hitam; memegang mikrofon dengan bicara loghat Indonesia (mungkin kerana di situlah beliau "menimba ilmu"). Beberapa puluh saat selepas video dimainkan, beliau mula menunjukkan tanduk..
Pertama sekali beliau menyatakan sebab dia meragui Islam. Benjamin siap berhujah menggunakan "dalil naqli". Dibacanya Surahtul Fatihah dari ayat pertama, kemudian menjedakan bacaannya yang merdu pada ayat keenam (sudah tentu ada sebabnya, nanti). Surahtul Fatihah, ayat 6:
ٱهۡدِنَا ٱلصِّرَٲطَ ٱلۡمُسۡتَقِيمَ
Tunjukilah kami jalan yang lurus.
Menurutnya, sepanjang beliau bersolat sebagai Muslim, fikirannya terganggu sebaik sahaja bacaan sampai ayat keenam di atas. Suatu persoalan yang sering berlegar adalah tujuan ayat itu. Katanya, kalau betul Nabi Muhammad SAW membawa ajaran yang lurus, maka kenapa setiap solat; 17 kali sehari doa itu dibacakan dan diaminkan? Apakah Islam bukan jalan yang lurus?
Analogi beliau mudah: "Saya tahu jalan ke Kuching.. maka perlukah saya meminta tunjuk jalan jika saya sudah tahu jalannya? Maka kalau Nabi Muhammad (SAW) tahu jalan lurus 1,400 tahun yang lalu; mengapa baginda meminta doa: tunjukkan aku jalan yang lurus!?"
Dan selepas itulah, kata-kata Ustaz Abdullah menikam benak saya.. bagaimana jika diajukan logik ini kepada anak-anak kita yang baru berumur sepuluh dan sebelas tahun? Apakah mampu mereka bertahan dengan desakan analogi tersebut. Jujur-saya yang sudah dewasa inipun gementar apabila cuba menjawab persoalan Encik Benjamin di dalam hati. Apalagi adik-adik yang baru setahun jagung mengenal dunia?
Di sini peri pentingnya penyelitan didikan akidah dalam pemikiran anak-anak yang sedang berkembang cepat. Meskipun tiada dalam pedagogi, apa salahnya jika kita persiapkan jundallah di peringkat terawal pendidikan?
Baiklah, ayuh kita jawab persoalan Benjamin Stephen ini. Ada empat hujah:
1. Perkataan "اهدنا" bukanlah bermaksud tunjuk sebagaimana kita menunjuk jalan ke Kuching. Bak kata Ustaz Abdullah, "Pak Arab pasti ketawa bila kamu minta tunjuk jalan dengan berkata: Ihdinas siratal fi Kuching, ya syeikh!". Pasti.
"اهدنا" secara kasarnya pun bermaksud pimpin dengan memberi hidayah; bukan secara fizikal. Memberi analogi secara material bagi perkara seperti hidayah adalah suatu yang paradoks. Tidak kena. paling pun, sebagai metafora saja; bukan tunjuk dengan tunjuk fizikal. Macam peribahasa: 'Sembuhkan hatiku yang luka', bukanah bermaksud sama macam kita ubat luka biasa.
2. Ini adalah suatu kes tu quoque. Tu quoque bermaksud, suatu tindakan yang menjustifikasikan sesuatu yang jahat itu baik kerana orang baik melakukannya juga. Menurut penelitian saya, Benjamin Stephen tetap tidak bisa memvalidkan Injil sebagai kebenaran, meskipun jika Al Qur'an terdapat kesalahan (kalau ada).
Benjamin menjustifikasikan Kristian sebagai sah meskipun ada kesalahan, kerana menurutnya Islam juga melakukan kesilapan yang sama. Jikalau begitulah saja penyelarasannya dengan agama, maka Islam itu sah juga kerana kita bukan saja berjaya menyelesaikan kesilapan tadi, malah memberi bebanan kepada mereka kerana kita ini "lebih sah". Jalan falsafah mudahpun mampu mematahkan segala hujahnya.
3. Hal yang paling melucukan apabila dirujuk pada Surahtul Fatihah, ada tujuh ayat. Kenapa analisisnya dalan Surahtul Fatihah itu, ayat keenam dihentikan bacaannya. Ini sesuatu kekhilafan yang disengajakan dan sangat berpengaruh dalam menerbitkan mafhum surah. Surah Al Fatihah, ayat 7:
صِرَٲطَ ٱلَّذِينَ أَنۡعَمۡتَ عَلَيۡهِمۡ غَيۡرِ ٱلۡمَغۡضُوبِ عَلَيۡهِمۡ وَلَا ٱلضَّآلِّينَ
Iaitu jalan orang-orang yang Engkau telah kurniakan nikmat kepada mereka, bukan (jalan) orang-orang yang Engkau telah murkai dan bukan pula (jalan) orang-orang yang sesat.
Mudah saja menghadapi beliau dengan petikan ayat ini:
Mufassir Al Qur`anul Karim yang mahsyur, Ibn Kathir menyatakan dalam salah satu hadith hasil riwayat Sufyan bin Ayyinah bahwa Nabi Muhammad SAW bersabda, mengatakan bahwa golongan yang disebut sebagai " عَلَيۡهِمۡ ٱلۡمَغۡضُوبِ" (bermaksud: kemurkaan ke atas mereka) adalah orang Yahudi dan golongan "ٱلضَّآلِّينَ" (orang yang sesat) adalah orang Kristian.
Benjamin Stephen mungkin menghentikan bacaan dan analisisnya kerana beliau risau jika ditanya siapakah orang yang "mendapat murka" dan "sesat" itu. Dia takut berhadapan dengan kenyataan bahawa agama yang dipeluknya itu (Kristian) adalah sesat!
4. Kita perlu menyedari bahawa siapapun; termasuk para Anbiya` tidak akan mampu melihat masa depannya (melainkan para Nabi, wali, dsb.). Sentiasa perlukan bimbingan daripada Allah SWT. "Tunjukkanlah kami jalan yang benar" itu sangat jelas menggambarkan betapa perlunya manusia bergantung kepada rahmat Allah dalam apa sekalipun keadaan. Manusia ini adalah makhluk yang pelupa dan sentiasa memerlukan bimbingan.
Nabi Muhammad SAW bukan tidak tahu atau keliru, bahkan dialah orang yang paling berkesedaran pasal perihal jalan yang lurus ini. Baginda pernah melihat syurga dan neraka; pergi ke langit ketujuh dan banyak lagi mukjizat. Mustahil setelah kesemua pemberian mukjizat itu, baginda masih ragu akan dirinya. Menurut saya, hikmah pewahyuan ayat itu jelas menunjukkan betapa seorang nabi sendiripun, sentiasa memerlukan petunjuk dari Allah SWT kerana baginda sendiri tidak tahu apa nasibnya kelak.
Diharap kesemua empat hujah di atas berjaya menjawab segala kekeliruan dalam hati kita. Saya tidak berani mengatakan ianya sebagai jawapan mutlak, kerana siapa tahu, akan ada jawapan yang lebih hebat dan komprehensif?
Banyak lagi hujah yang akan anda dapati daripada video-video di YouTube. Yang terbaik adalah dengan membaca Al Qur'an, tadabbur dan menganalisisnya dengan hikmah. Rujuki Sibawayh dan ahli nahu Arab; belajar (saya pun sedang belajar sendiri). Ingatlah perintah pertama Allah SWT kepada Nabi Junjungan, Muhhamad SAW; "Iqra (baca)!"
Akhir kata, segala yang baik itu datang daripada Allah, dengan asbabnya saya. Segala yang buruk itu saya kira dan saya akui, adalah kelemahan saya sebagai manusia yang sentiasa memerlukan petunjuk serta hidayah Allah SWT.
*P/S: Sedikit gambar kenangan semasa kem:
Laskar Allah |
Mula berucap.. |
No comments:
Post a Comment