Kisah kanak-kanak yang sangat popular |
i. Teringat
Ketika saya kecil, terdapat sebuah telewayang yang bersiaran setiap pagi di TV1 (tidak silap saya). Ia memaparkan kisah-kisah legenda seperti Hansel dan Gretel, Rumpeltiltskin, Cinderella dan tidak dilupakan.. Jack dan Kacang Ajaib.
Tidak sangka pula cerita yang sama saya temui baru-baru ini. Jadi sayapun selaklah buku itu, helai demi helai; tanpa ada perkataan tertinggal. Dan sesuatu menghujat akal. Cerita ini tiada moral langsung! Sebelum saya menyebutkan sebab-musabab, marilah kita menyemak semula asal-usul cerita ini.
ii. Sejarah
Sebenarnya, tiada siapa yang benar-benar mampu memberikan fakta sebenar mengenai asal-usul cerita legenda ini. Jack Zipes dalam 'The Oxford Companion to Fairy Tales' menyebutkan bahawa cerita 'Jack and the Beanstalk' adalah satu perkara yang tidak diketahui dan beliau mengklasifikasikannya sebagai 'Wonder Story' yang berasal daripada pewarisan secara lisan. Kira macam Cerita Hang Tuahlah.
Jack dalam cerita ini--menurut Sir Francis Plagrave, ahli sejarah England--adalah "Giant Killer", manusia sama yang mendarat bersama Hengist dan Horsa, serta Ebba dan Saxon dalam satu kapal perang/kapal layar yang sama. Kesemua mereka adalah tokoh Anglo-Saxon, di mana Horsa dan Hengist merupakan tokoh yang membantu Raja Vortigern menentang puak Picts dan lainnya (Heritage-History.com). Apapun, tidak boleh secara membuta tuli menyatakan kapal merekalah yang membawa cerita Jack dan Kacang Ajaib ini. Kebetulan mungkin saja berlaku, bukan?
Kisah Jack dan Kacang Ajaib pertama kali ditulis dalam bahasa Inggeris oleh J. White Newcastle dengan tajuk 'The History of Jack and the Giants' pada 1711. Cerita asal Jack ini sebenarnya tidak mengandungi latar cerita pucuk kacang gergasi yang menggapai istana langit; kenyataan ini boleh dijelaskan dengan fakta bahawa manusia Zaman Pertengahan sangat percaya bahawa makhluk gergasi tinggal dalam kalangan manusia. Oleh itu, tidak perlu kacang ajaib!
Menurut Zipes dalam bukunya 'When Dreams Came True: Classic Fairy Tales and Their Tradition, Routledge', keluaran 1999, kebanyakan cerita dongengan dahulu tidak lari daripada penggaulan perkara erotik, ganas dan lucah. Para sasterawan menganggap ini membahayakan maka pada kurun ke-19, segenap cerita tradisional England dituliskan semula, dengan meyingkirkan aspek yang disebutkan di atas.
Tambah Zipes lagi, dalam 'The Oxford Companion to Fairy Tales' (Oxford University Press, 2000), "Keganasan pembunuhan dilenyapkan, kisah King Arthur dilenyapkan, Jack menjadi manusia bumi dan Gergasi (dalam kisah itu) diletakkan pada keadaan sudah berkahwin dan berada di langit, hanya mampu digapai dengan benih kacang ajaib yang menjalar naik ke langit". Kisah yang telah diubahsuai ini pertama kalinya diterbitkan dalam Chaptbook oleh Francis Orr and Sons di Glaslow pada tahun 1820.
Meskipun terdapat "pemurnian" dilakukan ke atas cerita ini, ia masih tidak "bersih". Masih ketinggalan beberapa unsur kezaliman yang terperangkap dalam plot cerita. Ini beberapa nilai negatif yang saya perhatikan.
Dalam bahagian ekspositori cerita ini, Jack telah diperintahkan oleh ibunya untuk menukarkan lembu dengan duit (ada versi yang mengatakan disuruh tukar dengan tepung). Apapun, semua versi menjuru kepada satu persoalan yang sama: adakah Jack menjalankan perintah itu? Tidak!
Bahkan penulis cerita menggambarkan perbuatan melanggar perintah itu sebagai suatu perkara yang baik kerana imbalannya (kacang ajaib) menjadikan mereka kaya-raya. Hal menderhakai diulang pada bahagian di mana siibu menegah Jack untuk mendaki pucuk kacang ajaib itu.
2. Pencerobohan.
Pada bahagian menghampiri klimaks, Jack didepiksikan sebagai manusia yang pintar; memasuki rumah si Gergasi dan kemudiannya bersembunyi di balik pintu. Tetapi jika dilihat pada sudut analitik dan pada sambungan plot seterusnya, Jack tidak lebih daripada seorang penceroboh. Apa yang lebih mengesankan ialah penceritaan sesetengah buku yang mengatakan isteri Gergasi tadi bersubahat dengan Jack. Hal ini menampakkan isteri Gergasi baik? Tidak.. menurut saya, ia menggalakkan pencerobohan dan perngkhianatan terhadap suami.
3. Mencuri dan Melarikan Diri Dari Tuduhan.
Rompakan Jack |
4. Membunuh.
Inilah bahagian paling sadis dalam cerita ini. Ingat lagi tidak, Jack--setelah turun ke bumi--meminta ibunya menghulur kapak bagi menebang pucuk gergasi itu. Si Gergasi yang sedang asyik menuruni batang raksasa tadi akhirnya jatuh ke bumi, terjelepok; dan mati.
Perbuatan siibu yang menyerahkan kapak kepada anaknya seolah-olah menggambarkan pengizinan untuk membunuh. Dan lebih sadis daripada itu, mereka "..live happily ever after. The end."
iii. Konklusi
Tuduhlah saya mundur dan pesimis; cuma satu ingin saya minta: senaraikan saya nilai moral dalam cerita ini. Keberanian? Kepintaran? Haha. Tengok balik konteks pengimplementasian nilai di atas? Hanya untuk melunaskan niat jahat!
Oleh itu, baliklah kepada kisah nabi-nabi. Kisah yang jauh lebih bermoral daripada Jack dan Kacang Ajaib atau apapun. Mengikutkan perasaan, kisah Jack dan Kacang Ajaib sungguh-sungguh gagal untuk menerapkan nilai positif, melainkan imaginasi yang melampau. Buka minda generasi kita dengan cerita Nabi Adam a.s sehinggalah Nabi Muhammad SAW yang penuh adab dan kesantunan, bebas daripada unsur barbarik serta materialis. Walaupun saya akui penulis entri inipun tidak berlepas daripada menjadi mangsa mesej subliminal. Itu yang jadi jahat tu. :D
Wallahu`alam.
No comments:
Post a Comment