Monday, August 8, 2011

Pengorbanan

"...mengorbankan segala harta yang beliau usahakan seumur hidupnya, lataran keyakinan kepada janji Allah SWT.." 

Sang khatib mengelap air matanya. Sirah sahabat yang baharu saja tadi dia bacakan di depan ratusan jemaah, benar-benar menyentuh imannya. Air mata yang bergenang sejak dari tadi disapu dengan hujung jubah. Kekuatan diraih, khutbah mesti diteruskan. Para jemaah pun, ada yang mengesat air mata; turut berasa sedih dengan kisah yang baru sahaja dibacakan oleh si khatib.

Khatib berdiri.

"..inilah buktinya para Salafus Soleh yang apabila membaca Al-Qur'an, merasakan seolah-olah Allah bercakap dengan mereka. Maka menitislah air mata mereka, merasa sedih dengan segala kesilapan yang telah mereka lakukan.." Air mata beliau menitik lagi. Nafas turun naik, dadanya berombak. Seakan mahu lari sahaja beliau dari mimbar itu dan terus bersujud kepada Allah SWT. Jiwanya semakin hebat dihambat rasa rindu kepada Tuhan dan kepada Para Sahabat. Si khatib ini mengelap air matanya untuk kesekian kalinya dan terus menyambung bacaan khutbah. Tulisan pada teks khutbah dilihatnya semakin kabur, tatkala air mata tidak jenuh mengempang.

==============================================================

Diberitakan dari Riwayat Tabari bahawa suatu hari, seorang sahabat sedang khusyuk bertadarus Al-Qur'an di dalam kebun kurmanya. Namanya Abu Darda'. Sehinggalah beliau sampai pada Surahtul Hadid, ayat 11:

"Siapakah yang mahu memberi pinjaman kepada Allah SWT, sebagai pinjaman yang baik (ikhlas) supaya Allah melipatgandakan balasannya? Dan mereka akan beroleh pahala yang besar!"

Abu Darda' berasa hairan dan kebingungan. Masakan Allah SWT yang Maha Kaya itu meminta pinjaman daripada ciptaanNya sendiri? Maka, bergegas beliau kepada Rasulullah SAWS demi menjawab persoalan akidah itu. Abu Darda' bertanya;

"Ya Rasulullah, apakah Allah  memerlukan pinjaman sedangkan Dialah Pemilik langit dan bumi?". Maka jawab Baginda Nabi SAW dengan penuh hikmah;

"Ya, Dia melakukan sedemikian agar diberikanNya kepada ganjaran yang berlipat kali ganda kepadaMu". Abu Darda' r.a sebak lalu bersumpah di hadapan Rasulullah SAW;

"Ya Rasul Allah, aku mempunyai sebidang kebun yang di dalamnya ada enam puluh batang kurma di tengah kota Madinah ini. Maka aku bersumpah memberikan segala yang aku ada itu kepada jalan Allah!"

Adakah anda sanggup mengorbankan seluruh harta dan perkara yang anda usahakan selama berpuluh tahun lamanya kepada Allah SWT dalam sekelip mata? Beringatlah...

No comments:

Post a Comment