Tuesday, August 16, 2011

Laa Tahzan, Husnuzhon Wa Aamanubillah

Salaam.

Perdebatan kasih sayang Tuhan yang mutlak antara agama (Islam vs Kristian) malahan antarsekte dalam Islam itu sendiri tidak pernah berhenti. Pelbagai ijtihad dikeluarkan wabar bagi agama/sekte masing-masing dalam memahami maksud sebenar kasih sayang Tuhan. Kristian berpegang pada prinsip 'agape' dan 'unconditional love', manakala Islam berpegang kepada kasih-sayang melalui panduan. Kasih sayang Tuhan dalam Islam bergantung kepada ketaatan yang ditumpahkan kepada Kitabullah. Terdapat ratusan ayat menggagaskan idea bahawa kasih sayang Tuhan itu boleh bertambah dan berkurang.

Namun, pada pandangan penulis sendiri, kasih sayang Tuhan itu ada dua, yakni; kasih sayang kepada manusia seperti rezeki, jodoh, peluang masuk syurga dan setentu dengannya; serta kasih sayang terhadap manusia yang taat. Kasih sayang ini boleh diperolehi melalui ketaatan terhadapNya. Bersikap umum, adalah lebih baik untuk diperhatikan petikan ringkas di bawah;

"Engkau minta sekuntum bunga, lalu Allah SWT memberimu sebatang kayu reput.. engkau buangnya ke luar jendela, dan tidak mempedulikan kayu lapuk itu, dan menjalani hidup seperti biasa. Namun apabila dibuka jendela keesokan harinya, sebuah taman bunga terbentang indah di tempat yang sama kamu membuang kayu tadi"

Rahmat Allah, saudara-saudari sekalian berfungsi dengan cara yang paling tidak masuk akal. Tidak masuk akal di sini bukanlah yang bersifat negatif, malah positif. Bernafas contohnya; adakah ditarikNya nikmat ini dari manusia yang lalai, manusia yang degil untuk sujud dan tegar pada ingkar? Tidak!

Kenapa, kamu tanya. Kenapa Allah SWT memberi kita peluang untuk hidup hari ini dan kelmarin? Imam Ghazali r.a mengetengahkan jawaban yang ringkas dan sangat berkesan kepada hati yang benar-benar memahami hakikat menjadi hamba, dengan berkata, "Kerana dosa yang banyak, diberiNya kita hari ini untuk bertaubat (demi memperbetulkan kesilapan itu)". Nabi Muhammad SAWS sendiri bersabda, hasil riwayat Abu Hurairah, "Setiap anak Adam akan melakukan kesalahan. Dan yang terbaik dalam kalangan pelaku dosa itu adalah, mereka yang mengaku kesilapan mereka dan merubahnya".

Abu Dzar pernah mendatangi Baginda lantas menceritakan perihal dosa yang dia lakukan. Lalu Baginda menyuruhnya bertaubat. Kemudian, Abu Dzar datang lagi, mengekspresikan kekesalannya melakukan dosa yang sama, dan seperti sebelumnya, Baginda menyuruhnya bertaubat. Kemudian, Abu Dzar melakukan lagi dosa sebelumnya, ddan Baginda masih tetap menyuruhnya bertaubat. Begitulah sehingga kali keempat Abu Dzar datang. Kali ini, dia betul-betul dalam keadaan kesal. Baginda memujuknya, dan berkata, "Wahai Abu Dzar, ketahuilah; sebesar manapun dosa yang kamu lakukan, besar lagi Rahmat Allah SWT ke atasmu"

Saudara... renungkanlah.

No comments:

Post a Comment