Sebelum apa-apa, marilah kita definisikan maksud keganasan. Keganasan merupakan suatu istilah yang merujuk kepada suatu perbuatan yang menimbulkan ketakutan, kerisauan dan kegusaran sama ada dengan cara kejahatan, kezaliman, kekerasan mahupun melalui pencerobohan hak. Ia juga bertujuan untuk mengganggu ketenteraman awam, merosakkan sistem kehidupan serta membenarkan kekejian, kekerasan dan kekejaman terhadap mereka yang tidak bersalah dan tidak terlibat dalam perang. Keganasan sentiasa berada di pihak ofensif dan bersifat paksa. Permasalahan yang ada sekarang bertitik tolak pada persoalan; benarkah Islam mengajar semua ini?
Pertama-tama sekali apabila kita membincangkan fasal-fasal yang ada di dalam Al-Qur'an, perlu dilihat konteks ayat dan kesinambungannya dalam dengan ayat lain (khususnya yang berdekatan). Jika tidak, makna tidak sempurna, cacat ataupun lari daripada suruhan sebenar. Saya bagi contoh;
Pergilah bermain di tanah. Tapi jangan sampai lewat malam.
Kalau kita mengendahkan ayat terakhir bagi pernyataan di atas, idea yang ingin disampaikan dan yang disampaikan akan berbeza. Justeru itulah kita perlu meneliti ayat yang terjadi pada sebelum dan selepas ayat yang ingin dikaji. Selain itu, kita juga perlu melihat pelbagai aspek bicara berkenaan hal yang dihujahkan. Aspek bicara ini boleh didapati dalam ayat-ayat lain Al Qur'an.
Perlu diingat, saya tidak membeli pernyataan "satu ayat memusnahkan ayat yang lain" (abrogasi) kerana jikalau begitulah, lebih baik dipadamkan ayat yang termusnah tadi. Saya lebih rela mengambil jalan takwil dan adaptasi daripada menghapus ayat-ayat Allah. Saya percaya ayat-ayat Al Qur'an bersimfoni antara satu dengan yang lain.
Setelah menyebut tatacara meneliti Al Qur'an secara kasar, saya rasa kita tidak mempunyai masalah untuk bermula:
:: Ayat Al Qur'an Mengajar Keganasan? ::
Quran (3:151) : " Kami akan isikan hati orang-orang kafir itu dengan perasaan gerun, disebabkan mereka mempersekutukan Allah dengan benda-benda (yang mereka sembah) yang Allah tidak menurunkan sebarang keterangan yang membenarkannya dan (dengan yang demikian) tempat kembali mereka ialah Neraka dan itulah seburuk-buruk tempat tinggal bagi orang-orang zalim"
Respon saya: Bahagian mana yang suruh umat Islam menjadi teroris di sini?
Apa yang saya lihat di sini ialah hukuman daripada Allah sendiri. Manusia tidak terlibat apapun dalam hal ini, apatah lagi suruhan untuk melakukan keganasan. Tiada.
(pada ayat sebelumnya, Allah SWT melarang Muslim berlaku takut pada kafir dalam medan perang dan pada ayat seterusnya, Allah menyatakan pertolongan yang diberikan kepada umat Islam dalam memerangi kaum kafir yang bertujuan memerangi mereka [seingat saya masa Perang Uhud] yang telah Dia janjikan).
Quran (2:191-193) : "Dan perangilah kerana agama Allah akan orang-orang yang memerangi kamu dan janganlah kamu menceroboh; kerana sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang menceroboh. Dan bunuhlah mereka (musuh yang memerangi kamu) di mana sahaja kamu dapati mereka dan usirlah mereka dari tempat yang mereka telah mengusir kamu dan (ingatlah bahawa angkara) fitnah itu lebih besar bahayanya daripada pembunuhan dan janganlah kamu memerangi mereka di sekitar Masjidilharam sehingga mereka memerangi kamu di situ. Oleh itu kalau mereka memerangi kamu (di situ), maka bunuhlah mereka. Demikianlah balasan bagi orang-orang yang kafir."[191]
"Kemudian jika mereka berhenti memerangi kamu (maka berhentilah kamu) kerana sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani" [192]
"Dan perangilah mereka sehingga tidak ada lagi fitnah dan (sehingga) menjadilah agama itu semata-mata kerana Allah. Kemudian jika mereka berhenti maka tidaklah ada permusuhan lagi melainkan terhadap orang-orang yang zalim" [193]
Respon saya: Saya tidak tahu, apakah kamu semua buta atau cuma 'petik' dari blog sahaja semua ini, tanpa membacanya. Mari saya jelaskan sedaya upaya saya.
Seperti yang saya katakan tadi, tidak lengkap suruhan atau mesej sesuatu ayat jika tidak diperhatikan ayat yang ada sebelum, selepas mahupun yang bersangkutan dengan kategori ayat. Surahtul Baqarah 191 hingga 193 merupakan bukti atau contoh yang agak baik.
Jika kita baca ayat 191 saja, tentulah kelihatannya Islam mendedahkan ideologi kekejaman yang agak melampau. namun baca ayat seterusnya, "..kemudian jika mereka berhenti memerangimu, hendaklah kamu berhenti.." dan pada ayat 193: "Kemudian jika mereka berhenti (yakni dari memerangi kamu dan agamamu) maka tidak ada permusuhan lagi buat orang yang ingin memeluk Islam."
Pada ayat 193: saya difahamkan klausa "Dan perangilah mereka sehingga tidak ada fitnah dan sehingga menjadilah agama itu semata-mata kerana Allah"
Dalam bahasa Arab, perkataan 'fitnah' diertikan sebagai 'siksaan', 'percubaan', atau 'timbulkan kekacauan'. (lihat Surahtul Buruuj, ayat 10). Maka diertikan ayat ini dengan begini: "Dan perangilah mereka sehingga tidak ada siksaan dan sehingga agama hanya untuk Allah"
Begitupun dengan ayat 194, Allah SWT meletakkan satu lagi syarat sebelum perang terhadap kaum kafir dibenarkan:
"(Mencabuli) bulan yang dihormati itu ialah dengan (sebab membalas pencabulan dalam) bulan yang dihormati dan tiap-tiap perkara yang dihormati itu (jika dicabuli), ada balasannya yang seimbang. Oleh itu sesiapa yang melakukan serangan terhadap kamu maka balaslah serangannya itu seimbang dengan serangan yang dilakukannya kepada kamu dan bertakwalah kamu kepada Allah serta ketahuilah: Sesungguhnya Allah berserta orang-orang yang bertakwa"
Perhatikan Allah SWT mewajibkan serangan yang sama rata. Tidak ada konsep keganasan di sini melainkan suatu konsep keadilan yang mana menyebut agar kesamarataan.. Pendeknya, sekadar menghentikan peperangan. "Jika mereka berhenti, maka kamu pun hendaklah berhenti".
Konsep ini berlawanan dengan doktrin perang Amerika Syarikat. Dalam artikel sederhana 'AN AMERICAN WAY OF WAR OR WAY OF BATTLE?' yang dikepilkan oleh LTC Antulio J. Echevarria II, Pengarah dalam Penyelidikan Keselamatan Nasional di Strategic Studies Institute, U.S. Army War College menyebutkan bahawa Amerika menganut Doktrin Powell dalam melaksanakan perang. Dalam mukasurat pertama artikelnya itu, beliau menulis;
"Powell Doctrine, which, briefly stated, says that wars should be fought only for vital national interests and must have clear political objectives and popular support. It further emphasizes that the military should be allowed to use overwhelming force"
Pada muka surat seterusnya, beliau menyebut;
"After years of self-examination in the wake of Vietnam, U.S. strategic thinking finally reached the conclusion that winning a war really amounts to accomplishing one’s strategic objectives. While this realization is taught in the higher echelons of professional military education and is subscribed to by leading defense intellectuals, recent events suggest that it is not yet a conscious part of the American way of war."
Collin Powell.. peneraju Doktrin Powell |
Maka jelas kita saksikan konsep perang Amerika itu lebih bersifat terorisme dari apa yang Islam ajukan.Secara harfiahnya, Islam hanya mengajar erti 'defensif' dan tiada bahagian 'ofensif'. Selagi musuh tidak menyerang, maka janganlah kamu menyerang. Persoalan yang lebih besar; kenapa Amerika tidak digelar sebagai teroris sedangkan konsep perangnya berupa ofensif?
Quran (4:74) : "Kerana itulah, orang-orang (yang beriman) yang mengutamakan kebahagiaan akhirat daripada (kesenangan) kehidupan dunia, hendaklah mereka berperang pada jalan Allah (untuk membela Islam) dan sesiapa yang berperang pada jalan Allah lalu dia mati (gugur Syahid) atau beroleh kemenangan, maka Kami akan memberi kepadanya pahala yang besar."
Respon saya: Satu lagi kesalahan dalam memaknakan ayat Al Qur'an. tidak menghiraukan apa yang tertulis dalam ayat sebelumnya ataupun selepasnya. Mari kita lihat sura yang sama, ayat 71:
"Hai orang-orang yang beriman, bersiap siagalah kamu, dan majulah [ke medan pertempuran] berkelompok-kelompok, atau majulah bersama-sama!"
Bersiap siagalah kamu di sini merujuk pada 'bersiap siaga dengan serangan atau pencerobohan orang kafir Musyrik Mekkah'. Jika mereka menyerang, maka majulah ke medan perang. Ayat 4:72, 4:73, 4:74 sekadar suatu kata-kata semangat atau janji yang Allah akan berikan untuk mereka yang pergi berperang. Ayat 4:75 pula Allah SWT menyatakan sebab perlu peperangan yang dianjurkan di atas:
"Mengapa kamu tidak mau berperang di jalan Allah dan [membela] orang-orang yang lemah baik laki-laki, wanita-wanita maupun anak-anak yang semuanya berdo’a: "Ya Tuhan kami, keluarkanlah kami dari negeri ini [Mekah] yang zalim penduduknya dan berilah kami pelindung dari sisi Engkau, dan berilah kami penolong dari sisi Engkau!"
Sekali lagi, Al Qur'an menyatakan bahawa Islam itu bersifat defensif, bukan ofensif. Islam tidak mengajar keganasan, melainkan pembelaan serta pembebasan manusia daripada cengkaman kezaliman. Dalam ayat ini, gagal juga ditemukan sifat ofensif and imperialis Islam. (Sila bac Surahtul Hajj, ayat 39)
Quran (5:33) : "Hanyasanya balasan orang-orang yang memerangi Allah dan RasulNya serta melakukan bencana kerosakan di muka bumi ialah dengan dibalas bunuh (kalau mereka membunuh sahaja dengan tidak merampas) atau dipalang (kalau mereka membunuh dan merampas), atau dipotong tangan dan kaki mereka berselang (kalau mereka merampas sahaja), atau dibuang negeri (kalau mereka hanya mengganggu ketenteraman umum). Hukuman yang demikian itu adalah suatu kehinaan di dunia bagi mereka dan di akhirat kelak mereka beroleh azab seksa yang amat besar."
Ini tidak perlu huraian panjang, jelas terlihat sikap defensif Islam. Jika mereka memerangimu, maka perangilah mereka dengan hukuman yang dinyatakan di atas. Keadaan ini agak keras hukumannya, namun jika dilihat pada skala psikologi dan pada jangkamasa yang panjang, ianya boleh mengelak peperangan yang lebih banyak.
Satu analogi: seorang ibu memukul anaknya. Pukulan mungkin agak keras bunyinya, namun dengan itu, si anak akan serik. Tambah ulasan, jika kita perhatikan anatomi perang dalam Al Qur'an, maka akan terlihat betapa teguhnya Islam mempertahankan keamanan. Tidak ada (atau setakat ini yang saya baca) ideologi, ajaran atau agama lain yang menyasarkan sikap sedefensif ini.
Ada yang mungkin berkata; "Ini kerana agama lain tidak mengajar pasal perang dan bertumpu pada keamanan"
Seperti yang umum tahu, Al Qur'an ini menjadi panduan hidup seorang Muslim. Agama lain memang tidak mengajar penganutnya etika berperang, namun pada masa yang sama; ia tidak meletakkan batas-batas tertentu jika mereka terlibat dalam perang. Mereka terpaksa menganut imperialisme, komunism, sekularisme dan kapitalisme; apa-apa yang patut. Cedokan taktik atau suruhan selain yang dari Kitab mereka ajar merupakan suatu tanda Kitab mereka belum lengkap. Tanyalah seorang kafir, apa batas perang dalam agama mereka?
Ironis..jika ayat ini mengajak manusia membunuh manusia (yang mana kita setujui sebagai keganasan yang universal), maka apa maksud ayat 32:
"Oleh karena itu Kami tetapkan [suatu hukum] bagi Bani Israil, bahwa: barangsiapa yang membunuh seorang manusia, bukan karena orang itu [membunuh] orang lain[1] atau bukan karena membuat kerusakan di muka bumi, maka seakan-akan dia telah membunuh manusia seluruhnya.[2] Dan barangsiapa yang memelihara kehidupan seorang manusia, maka seolah-olah dia telah memelihara kehidupan manusia semuanya. Dan sesungguhnya telah datang kepada mereka rasul-rasul Kami dengan [membawa] keterangan-keterangan yang jelas, kemudian banyak di antara mereka sesudah itu[3] sungguh-sungguh melampaui batas dalam berbuat kerusakan di muka bumi."
Hukum ini tidak dimusnahkan oleh Islam, malah Islam meneruskannya. Ia tidak diabrogasikan oleh wahyu yang turun selepas itu. Hukum ini dinamakan qisas; satu nyawa dibalas dengan satu yang milik pesalah. Surah As Shura ayat 40:
"Dan (jika kamu hendak membalas maka) balasan sesuatu kejahatan ialah kejahatan yang bersamaan dengannya; dalam pada itu sesiapa yang memaafkan (kejahatan orang) dan berbuat baik (kepadanya), maka pahalanya tetap dijamin oleh Allah (dengan diberi balasan yang sebaik-baiknya). Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berlaku zalim."Dalam sau lagi ayat yang sering dimanipulasi orientalis;
Quran (9:5) : "Kemudian apabila habislah bulan-bulan yang dihormati itu maka bunuhlah orang-orang musyrik itu di mana sahaja kamu menemuinya dan tawanlah mereka, dan juga kepunglah mereka, serta tunggulah mereka di tiap-tiap tempat mengintipnya. Kemudian jika mereka bertaubat (dari kekufuran) dan mendirikan sembahyang serta memberi zakat, maka biarkanlah mereka. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. "
Respon saya: Ayuh baca dua ayat sebelumnya, ayat 3 dan 4:
"Dan inilah perisytiharan dari Allah dan RasulNya kepada umat manusia, (diisytiharkan) pada Hari Raya Haji yang terbesar, bahawa sesungguhnya Allah dan RasulNya memutuskan tanggungjawab terhadap orang-orang musyrik; oleh itu jika kamu (wahai kaum musyrik) bertaubat (dari kufur) maka yang demikian adalah baik bagi kamu dan jika kamu berpaling (ingkar), maka ketahuilah sesungguhnya kamu tidak akan dapat melepaskan diri dari (azab seksa) Allah dan khabarkanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang kafir (bahawa mereka akan ditimpakan) dengan azab yang tidak terperi sakitnya" [3]
"Kecuali mereka yang kamu mengikat perjanjian setia (dengannya) dari orang-orang musyrik, kemudian mereka tidak mencabuli perjanjian kamu itu sedikitpun dan mereka tidak menolong seorangpun yang memusuhi kamu, maka sempurnakanlah kepada mereka perjanjian mereka sehingga (habis) tempohnya. Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang bertakwa." [4]
Saya terpaksa merujuk kepada dua ayat sebelum ini untuk memperbetulkan konteks. Dalam dua ayat sebelumnya, diceritakan perjanjian yang disetujui oleh orang Islam dan penduduk musyrikin. Selagi perjanjian itu tidak dicabuli, maka mereka haram diperangi. Sekali lagi Islam menampilkan dirinya sebagai pihak defensif, bukannya ofensif.
Melihat kepada perihal memeluk Islam itu diceritakan pada Surah An Nahl, ayat 125:
"Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalanNya dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayat petunjuk."
Justeru ditanya, "Bagaimana dengan mereka yang menolak untuk memeluk Islam?" Solusinya pada ayat ke 6 surah yang sama:
"Dan jika seseorang dari kaum musyrik meminta perlindungan kepadamu (untuk memahami Islam), maka berilah perlindungan kepadanya sehingga dia sempat mendengar keterangan-keterangan Allah (tentang hakikat Islam itu), kemudian hantarlah dia ke mana-mana tempat yang dia beroleh aman. Perintah yang tersebut ialah kerana mereka itu kaum yang tidak mengetahui (hakikat Islam)."
:: Al Qur'an Sebaliknya Mengajar Perihal Kedamaian dan Menolak Keganasan/Kezaliman::
Saya beriman bahawa Al Qur'an mengajar kebaikan, keamanan beserta pengiktirafan terhadap segala macam usaha untuk mengekalkan kedamaian. Islam memelihara hak nasionalisme dan hak-hak manusiawi, mengajar konsep keadilan yang mutlak dan dalam pada masa yang sama, mendidik pembaca/pengamalnya untuk menghormati agama lain. Islam wajib menjadi fron hadapan di atas pentas dunia dalam meluruskan kesaksamaan. Perhatikan ayat-ayat di bawah.
Surahtul Qasas, ayat 77: "Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalanmu) dari dunia dan berbuat baiklah (kepada hamba-hamba Allah) sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu (dengan pemberian nikmatNya yang melimpah-limpah) dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi; sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan."
Surahtul Shura, ayat 42: "Sesungguhnya jalan (untuk menyalahkan) hanyalah terhadap orang-orang yang melakukan kezaliman kepada manusia dan bermaharajalela di muka bumi dengan tiada sebarang alasan yang benar. Mereka itulah orang-orang yang beroleh azab seksa yang tidak berperi sakitnya."
Surahtul Anfal, ayat 61: "Dan jika mereka (pihak musuh) cenderung kepada perdamaian, maka engkau juga hendaklah cenderung kepadanya serta bertawakallah kepada Allah. Sesungguhnya Dia Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui."
Surahtul Yunus, ayat 99: "Dan (bukanlah tanggungjawabmu wahai Muhammad menjadikan seluruh umat manusia beriman), jika Tuhanmu menghendaki nescaya berimanlah sekalian manusia yang ada di bumi. (Janganlah engkau bersedih hati tentang kedegilan orang-orang yang ingkar itu; kalau Tuhan tidak menghendaki) maka patutkah engkau pula hendak memaksa manusia supaya mereka menjadi orang-orang yang beriman?"
Surahtul Baqara, ayat 256: "Tidak ada paksaan dalam agama (Islam) kerana sesungguhnya telah nyata kebenaran (Islam) dari kesesatan (kufur). Oleh itu, sesiapa yang tidak percayakan Taghut dan dia pula beriman kepada Allah, maka sesungguhnya dia telah berpegang kepada simpulan (tali agama) yang teguh yang tidak akan putus dan (ingatlah), Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui."
Surahtul Hajj, ayat 40: "Iaitu mereka yang diusir dari kampung halamannya dengan tidak berdasarkan sebarang alasan yang benar, (mereka diusir) semata-mata kerana mereka berkata: Tuhan kami ialah Allah dan kalaulah Allah tidak mendorong setengah manusia menentang pencerobohan setengahnya yang lain, nescaya runtuhlah tempat-tempat pertapaan serta gereja-gereja (kaum Nasrani) dan tempat-tempat sembahyang (kaum Yahudi), dan juga masjid-masjid (orang Islam) yang sentiasa disebut nama Allah banyak-banyak padanya dan sesungguhnya Allah akan menolong sesiapa yang menolong agamaNya (agama Islam); sesungguhnya Allah Maha Kuat, lagi Maha Kuasa.
Surahtul Ma'idah, ayat 2: "..jangan sekali-kali kebencian kamu kepada suatu kaum kerana mereka pernah menghalangi kamu dari Masjidilharam itu, mendorong kamu menceroboh dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertakwa dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan dan bertakwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksaNya (bagi sesiapa yang melanggar perintahNya)."
Surahtul Ma'idah, ayat 8: "Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada takwa dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan."
Surahtul Baqara, ayat 11: " Dan apabila dikatakan kepada mereka: Janganlah kamu membuat bencana dan kerosakan di muka bumi, mereka menjawab: Sesungguhnya kami orang-orang yang hanya membuat kebaikan"
Surahtul Mukminuun, ayat 61: "Mereka (orang yang beriman) itulah orang-orang yang segera mengerjakan kebaikan dan merekalah orang-orang yang mendahului pada mencapainya."
Surahtul Mukminuun, ayat 96: "Tolaklah kejahatan yang dilakukan kepadamu dengan cara yang sebaik-baiknya, Kami Maha Mengetahui apa yang mereka katakan itu"
Surahtun Nuur, ayat 53: "Katakanlah lagi (kepada mereka): Taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kepada Rasul Allah. Kemudian jika kamu berpaling ingkar maka ketahuilah bahawa sesungguhnya Rasul Allah hanya bertanggungjawab akan apa yang ditugaskan kepadanya dan kamu pula bertanggungjawab akan apa yang ditugaskan kepada kamu dan jika kamu taat kepadanya nescaya kamu beroleh hidayat petunjuk dan (sebenarnya) Rasul Allah hanyalah bertanggungjawab menyampaikan perintah-perintah Allah dengan penjelasan yang terang nyata."
Surahtul Ma'idah, ayat 78: "Orang-orang kafir Yahudi dari Bani Israil telah dilaknat (di dalam Kitab-kitab Zabur dan Injil) melalui lidah Nabi Daud dan Nabi Isa Ibni Mariam. Yang demikian itu disebabkan mereka menderhaka dan selalu menceroboh."
Surahtul Hujuraat, ayat 9: "Dan jika dua puak dari orang-orang yang beriman berperang, maka damaikanlah di antara keduanya; jika salah satunya berlaku zalim terhadap yang lain, maka lawanlah puak yang zalim itu sehingga dia kembali mematuhi perintah Allah; jika dia kembali patuh maka damaikanlah di antara keduanya dengan adil (menurut hukum Allah), serta berlaku adillah kamu (dalam segala perkara); sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil"
Surahtul Hujuraat, ayat 13: "Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu)"
Suratul Hujuraat, ayat 7-9: "Semoga Allah akan mengadakan perasaan kasih sayang antara kamu dengan orang-orang yang kamu musuhi dari kerabat kamu itu (dengan jalan menjadikan mereka insaf dan memeluk Islam) dan (ingatlah), Allah Maha Kuasa (atas tiap-tiap sesuatu), dan Allah Maha pengampun, lagi Maha Mengasihani." (7)
"Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu) dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil." (8)
"Sesungguhnya Allah hanyalah melarang kamu daripada menjadikan teman rapat orang-orang yang memerangi kamu kerana agama (kamu) dan mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu, serta membantu (orang lain) untuk mengusir kamu dan (ingatlah), sesiapa yang menjadikan mereka teman rapat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim." (9)
Surahtud Dhuhaa, ayat 10: "Adapun orang yang meminta (bantuan pimpinan) maka janganlah engkau tengking herdik."
Surahtul Asr, ayat 3: "Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar."
Surah Abasa, ayat 8-11:"Adapun orang yang segera datang kepadamu, (8) Dengan perasaan takutnya (melanggar perintah-perintah Allah); (9) Maka engkau berlengah-lengah melayaninya. (10) Janganlah melakukan lagi yang sedemikian itu! Sebenarnya ayat-ayat Al-Quran adalah pengajaran dan peringatan (yang mencukupi). (11)
...dan ratusan lagi ayat yang membawa mesej serupa: KEAMANAN.
Qur`an, 2:2 "Kitab Al-Quran ini, tidak ada sebarang syak padanya (tentang datangnya dari Allah dan tentang sempurnanya); ia pula menjadi petunjuk bagi orang-orang yang (hendak) bertakwa;"
No comments:
Post a Comment