Friday, May 6, 2011

Pemikir & Konsep Pemikiran

Bismillahir Rahmanir Rahiim..


"Siapa pemikir?"


Pemikir adalah pemerhati alam. Tidak dapat diterima mereka yang bergelar pemikir tanpa sikap observatif. Pemikiran manusia ini layaknya adalah refleksi dari jiwa yang merdeka; bukan zahir, tetapi batinnya. Kalaulah tahap pemikiran diukur dengan materii, maka Ibn Sina dan Ibnu Haitham itu tidak pantas disebut sebagai ahli fikrah.

John Barrell (1980) mendefinisikan berfikir sebagai berikut;

"..I define thinking as a search for meaning and understanding that can involve the adventurous generation of options, the attempt to arrive at logical, reasonable judgments and reflection on the process"

Tuan Abraham John (2011) menyebut,

"..berfikir adalahi satu jalan untuk menghadapi masalah. Manusia tidak berfikir jika tiada masalah.."

Saya mengungkapkan definisi berfikir sebagai suatu pencarian yang tidak akan berhenti. Pencarian yang bertumpu pada hakikat sebenar hidup ini; hakikat kenapa saya hidup dan bernafas. Pokok pemikiran manusia adalah perasaan rindu kepada 'sesuatu' dan saya kira nota ini tidak logik untuk digunakan sebagai pentas berdebat untuk merungkaikan mafhum sesuatu itu.

Akal merupakan suatu alat yang terpenting dari segala apa yang ada pada manusia. Akal pusat tumbuhnya perasaan dan pusat lahirnya kesedaran. Akal itulah kesedaran. Meski kadang-kadang keduanya tidak 'tally' tetapi mereka mutualis. Satu dihidupkan oleh yang satu lagi.

Akal boleh jadi instrumen penghidupan; dan radas kematian. Boleh jadi sumber keamanan; ataupun punca perpecahan. Apa-apa yang berubah di sekitar kita adalah hasil perubahan akal. Boleh jadi. Minda Sang Pencipta yang realitiNya, tak usah difikirkan. Bukankah Bapa Darwinisme itu sendiri: Charles Darwin pernah mengatakan:

"Melihat kepada semua ini; dari kupu-kupu yang berterbangan ke cacing tanah yang bebas merayap; aku tidak dapat menolak ianya berpunca dari satu Minda yang Hebat. Dan merenung semula--pemikiran ini sepertinya terbang pergi.."

Akal sentiasa dipengaruhi oleh keperluan, tidak boleh disangkal itu. Memenuhi keperluan adalah suatu masalah yang perlu dihadapi manusia dan seperti kata Tuan Abraham tadi, dengan masalah manusia berfikir. Jadinya, ayat 'What is on your mind?' tu, bolehlah ditukar kepada 'What is your problem?'

Berfikir juga dipengaruhi kehendak. Selalu juga kehendak mengatasi waras akal--dalam hal ini--saya menyebutnya sebagai nafsu buta. Nafsu itu akal bagi mereka yang mungkar; mereka yang sanggup membersatukan minda dengan keinginan melulu.

Ada sesetengah pula percaya, akal ini tiada batasnya. Mereka berterusan memikirkan persoalan-persoalan yang tiada hujungnya. Kadang-kala, sampai terluka nurani. Mereka ini adalah golongan yang mengatakan manusia yang percaya Tuhan tidak menghargai akal.

Sebenarnya, merekalah yang meletakkan penghinaan terhadap akal. Mereka memaksanya untuk bekerja di luar batas  yang ia mampu. Kita ambil contoh; Tuhan. 

Tuhan itu di luar batas pemikiran manusia. Walaubagaimana keraspun manusia berusaha, mereka tidak akan dapat menggapai hakikat Tuhan itu dan--pada pandangan saya--di sinilah akal bertemu hadnya. Dalam hal ini, kita terpaksa tunduk dan akur pada Tuhan itu sendiri.. perlu menundukkan diri pada keegoan untuk menandingi keghaiban Tuhan. Bukankah Tuhan itu pernah berkata: 'Walam yaqullahu kufuwan ahad'?

Dan bersumber dari pengertian ini, dapat disebutkan juga bahawa akal adalah ketundukan. Kejujuran pada lingkungan manusiawi. Penghormatan kepada kelebihan akal, namun masih tunduk pada batasnya. Penghargaan sebenar akal letaknya di sini.

Kalaulah benar akal itu tiada hadnya, maka mengapa lupa jadi akar nama manusia? Mengapa kemajuan kita ini dinamis dan bukannya progresif konstan? Mengapa berterusan putarbalik darjat? Mengapa ada perbezaan?

Jikalau benar akal ini tidak terhad, maka mengapa sering kita bertelingkahan meskipun pada hal yang kecil? Bukankah ketakterhinggaan itu tertuju pada satu yang mutlak?

Menjawab persoalan-persoalan di atas, seorang pemikir pasti sedar betapa apa yang telah dicapainya hanyalah sebutir debu dalam deruan ribut pasir. Hanya setitis air dari luasnya samudera. 

Saya tidak menghalang manusia untuk terusan berfikir. Tetapi jagalah tingkah dan batas, jangan sampai terbabas dan tertunggang terkilas.

Kebebasan berfikir itu adalah dakyah yang kejam kerana ia tidak langsung mengiktiraf derajat akal dan tatasusila yang selama ini diatur oleh Sang Pencipta. Ironinya, kebebasan berfikirlah yang memenjara manusia dari menyelongkar hikmah kenapa ia lemah. Akal lemah; itulah buah fikiran saya jika ditanya berkenaan akal. Justeru itu ia memerlukan bimbingan yang berterusan dari Dia Yang Menciptakan. Kitab, akal merindukannya.

Saya menamatkan nota ini dengan menukilkan sebuah peringatan dan sepotong ayat dari Kitab yang saya imani; Al Qur'an:
"..supaya Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu dan orang-orang yang diberi ilmu kamu beberapa darjat.." Surahtul Mujadila, ayat 11 
Wallahu'alam.. wassalam

No comments:

Post a Comment