Saturday, June 4, 2011

Maksud Hidup

Bismillahir Rahmanir Rahiim..

Kejadian manusia ini pada zahirnya sangat sempurna. Telinga yang sentiasa selaras dengan imbangan serta geraktubuh, serta lidah yang sentiasa berintegrasi dengan reseptor bau untuk menterjemah rasa sesuatu makanan; bohonglah jika anda tidak melihat keajaiban ini. Satu hal dengan kepelikan ini adalah bagaimana aturan atom mampu menghasilkan sesuatu seperti ini. 

Sains memang sangat berguna, praktikal dan nyata. Namun dalam kes-kes falsafah tertentu, sains sangat lemah untuk terus memberdirikan manusia yang berpegang teguh kepadanya. Terdapat dua soalan yang ia tidak mampu jawab. Pertama, masalah filasafat "dari tiada ke ada" dan masalah "dari mati ke hidup". Dua persoalan ini, pada asasnya tidak ada solusi dalam sains. Buktikan kalau ada.

Berbalik kepada isu kesempurnaan manusia. Dalam Surah At-Tiin ayat ke-4, Tuhan telah berfirman:  Laqad khalaqnal insaana fi ahsani taqwiim; bermaksudtelah kami sempurnakan penciptaan manusia dengan sebaik-baik kejadian. Ini adalah apa yang Pencipta kita sendiri katakan!

Untuk memendekkan cerita; kejadian kita serta kehidupan kita ini--pada mata Sang Pencipta--sangat agung, sangat bermakna. Tidak mungkin hidup yang begitu bernilai ini tersia-sia dengan kematian sahaja, seperti apa yang dicanang golongan nihilis. Saya menolak kenyataan bahawa permulaan manusia sama dengan pengakhirannya yang tidak bermakna; kematian. Pasti ada kehidupan selepas itu, ini yang hati saya bisikkan. Hayatilah Surah Al Waqiaah, ayat 57: Kamilah yang telah menciptakan kamu (dari tiada kepada ada wahai golongan yang ingkar), maka ada baiknya kalau kamu percaya (akan kebangkitan kamu hidup semula pada hari kiamat).

Saya dahulunya adalah seorang manusia yang dahaga dengan maksud hidup. Alhamdulillah, Tuhan memilih saya untuk terlibat dalam satu kemalangan kira-kira enam tahun yang lalu. Dari situ, saya mula menghargai betapa berharganya hidup dan dari situ, saya berazam mencari maksud hidup. Perjuangan selama hampir tiga tahun tidak membuahkan apa-apa. Saya terus hidup dalam gelumang dosa, meskipun kesedaran itu bercambah sedikit. saya teruskan hidup dalam kejahilan sehinggalah saya membaca Surah Al Mulk dan Surah At Takwiir. Sehinggalah saya dipertontonkan dengan sebuah tayangan video pembantaian manusia di sana-sini. Pendedahan daripada rakan-rakan juga sangatlah membantu saya berubah.

Dari kesemua pengalaman kolektif itu, saya bertatih melawan arus nikmat dunia. Bukan mudah, tetapi bukan juga mustahil: ini yang saya pegang. Tika saya kaku dan membatu pada persoalan hidup, saya gagahi diri untuk menyelak Al-Qur'an. Jujur; saya mulai lancar membaca Al-Qur'an ketika berumur enam belas tahun. Malu? Memang malu.. tetapi untuk kepentingan sendiri; saya betul-betul ketandusan makna ketika itu.

Tidaklah bermakna berubah seratus-peratus. Sukar sebenarnya untuk berhijrah dalam waktu singkat. Sayapun sehingga ke hari ini, masih menyimpan beberapa sikap buruk yang sama ketika saya masih jahil dahulu. Tabiat yang sudah menjadi daging. Tapi jangan jadikan pula ini sebagai alasan. Saya mencadangkan; lawan selagi berdaya, jangan biarkan diri dikuasai perasaan dan keinginan yang tidak-tidak.

Jika kita perhatikan dengan teliti, hidup ini sangat 'kosong' bila diisi dengan kepentingan materii semata. Umpama tin kosong; mudah kemik dan guyah strukturnya. Hidup perlu diisi dengan air ruhani. Air inilah yang menyuburkan jiwa dan minda, menjemput ketenangan untuk bertandang kepada kita. Sebab itulah selalu dilihat manusia yang jauh lebih miskin daripada kita masih mampu tersenyum. 

Persoalannya: bagaimana kita menggunakan masa singkat ini sebaik-baiknya? Adakah cukup dengan hidup dan menjadi tua, lalu mati dan disumbat ke liang lahad? Adakah cukup dengan bekerja seharian, meraih wang yang sudah tentu tidak mampu menampung tiket ke syurga? Adakah cukup dengan berbuat baik kepada manusia sedangkan hak Pencipta kita endahkan? Adakah bisa jasa pada negara menampung beban dosa di atas ketipisan Titian As-Siraat? Fikirkan sendiri.. saya tinggalkan pembaca dengan persoalan ini. 

Selamat beramal. .u_u.

No comments:

Post a Comment