Setelah seharian sibuk bekerja, dari pagi ke malam sehingga kadangkala melupakan kewajiban, tutuplah mata anda dan bayangkan segala apa yang anda miliki dan setiap manusia yang berdiri di sisi anda sekarang. Bayangkan kilasan wajah mereka satu-persatu yang senyum dan yang bersedih, dan sebilangan yang punya ekspresi seakan mengharap anda datang kepada mereka, memberi pertolongan. Setelah kaulakukan itu, bayangkan satu demi satu khayalan tadi lenyap dari penglihatan dan terhumban ke dalam suatu kegelapan. Satu demi satu, semuanya hilang jauh dari anda, bahkan pakaian yang anda pakai terlucut dan turut sirna. Cahaya yang memancar dari arah atas semakin kelam dan akhirnya padam. Dalam keadaan fitrah, anda kini sendiri.
Saat itu anda dalam kegelapan dan mungkin menangis. Menjerit, “Ibu! Ibu!!!” atau “Ayah!!! Ayahhh!!!!!”, meminta belas mereka yang tersebut untuk diselamatkan dari siksaan tidak berdarah itu. Kepala dipusingkan kesana-kemari mencari arah cahaya agar dapatlah melangkah keluar dari dunia tanpa apa-apa itu. Sahutan manusia yang anda harapkan, tiada.
Kawan, perkara ini akan berlaku suatu hari nanti, di mana tiada siapa- bahkan insan yang melahirkan kitapun- yang mampu membantu. Hari di mana kita dengan diri-sendiri serta tanggungjawab yang telah kita ikrar akan laksanakan sewaktu berada di rahim ibu dahulu. Hari kita berpisah untuk selamanya dari apa yang kita sayang. Hari perpisahan yang kita tiada punya masa untuk mengucap selamat tinggal kepada insan-insan yang kita kenali di dunia ini.
Ketika itu, yang dipikul di bahu cumalah amalan dan dosa. Harta yang dibanggakan tidak mampu membayar jalan keluar dari kegelapan itu. Kereta yang serba mewah hanya mampu mengenderai dunia, sedangkan akhirat ia tiada makna. Rumah yang dahulunya memberikan kedinginan dan kehangatan pada masa yang sama turut punah fana. Kawan-kawan... kawan-kawan yang selalu berhibur bersama tiada di sisi, kerana mereka juga sedang menghidupi dunia kegelapan itu. Gelak ketawa mereka dan gelagat pelbagai tiada lagi untuk memberikan selengkung senyum pada wajah kita.
Dan hanya pada Allah sahaja penyelesaiannya. Kembalilah kepadaNya, tinggalkan semua kemewahan dunia yang kita akan tinggalkan, mungkin sebentar sahaja lagi. Tunduklah pada kekuasaanNya dan peraturan yang Dia sudah utarakan. Menangislah depan Dia dengan ketidaksanggupan kita untuk meninggalkan segala ini.
Berdoalah kepadaNya.
No comments:
Post a Comment